Kitab Tafsir al-Bayan merupakan sebuah kitab tafsir dalam bahasa Melayu/ Indonesia yang unggul di rantau ini. Ia dikarang oleh tokoh ulama Indonesia yang tidak asing lagi iaitu Prof. Dr. T.M Hasbi ash-Shiddieqy (1904-1975M).
Tafsir al-Bayan merupakan hasil karya ke dua yang dikarang oleh Prof. T.M Hasbi ash- Shiddieqy dalam bidang pentafsiran al-Qur’an selepas karyanya yang pertama iaitu Tafsir An-Nur yang diterbitkan pada tahun 1956.
Pada Muqaddimah tafsir ini, yang bertarikh Yokyakarta: 21 Mei 1966, pengarang menulis:
“Dengan inayah Allah Taala dan taufiq-Nya, setelah saya selesai dari menyusun Tafsir An-Nur yang menterjemahkan ayat dan menafsirkannya, tertarik pula hati saya kepada menyusun al-Bayan”
Pengarang menyatakan sebab-sebab penulisan tafsir ini adalah untuk menyempurnakan sistem penterjemahan yang terdapat dalam Tafsir An-Nur karya pertamanya dalam bidang ini. Di samping itu, pengarang mendapati bahawa terjemahan-terjemahan al-Qur’an yang beredar di tengah-tengah masyarakat perlu dikaji dan ditinjau semula. Pengarang berkata di dalam kitab tafsirnya:
“Maka setelah saya memerhatikan perkembangan terjemahan al-Qur’an akhir-akhir ini, serta meneliti secara tekun terjemahan-terjemahan itu, nyatalah bahawa banyak terjemahan kalimat yang perlu ditinjau dan disempurnakan. Oleh karananya, dengan memohon taufiq daripada Allah Taala, saya menyusun sebuah terjemah yang lain dari yang sudah-sudah”
Karyanya yang kedua ini juga merupakan terjemahan dan tafsir al-Qur’an dalam bahasa Indonesia yang diperkirakan dihasilkan oleh pengarang pada awal tahun 60-an lagi. Cetakan pertama kitab tafsir ini ialah pada tahun 1971 melalui terbitan PT. Alma’arif Bandung, dengan ukuran 15 x 22 cm.
Kitab tafsir ini dinamakan oleh pengarang dengan ‘al-Bayan’ , yang bererti; “ Suatu penjelasan bagi makna-makna al-Qur’an ”, diambil sempena ayat al-Qur’an, dalam surah Ali ‘Imran ayat 138. Firman Allah s.w.t, yang bermaksud;
“al-Qur’an adalah penerangan (bayan) bagi seluruh manusia dan nasihat bagi mereka yang bertakwa”
Prof. Dr. T.M Hasbi ash-Shiddieqy menggunakan metode tersendiri dalam menyusun dan mengolah Tafsir al-Bayan dan mempunyai kelainan dengan karya yang pertamanya. Kitab ini juga mempunyai keistimewaan dan perbezaan yang tersendiri berbanding dengan kitab-kitab tafsir lain.
Kitab ini terdiri dari dua jilid. Jilid pertama mengandungi nas-nas ayat al-Qur’an bermula dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan ayat 74 surah al-Kahf. Kesemua terjemahan dan tafsiran bagi jilid pertama mengandungi 789 muka surat. Manakala jilid ke dua Tafsir al-Bayan ini, dimulai dari surah al-Kahf ayat ke 75 dan berakhir dengan surah al-Nas bersama terjemahan dan tafsirannya, yang kesemuanya terkandung dalam muka surat 789 sehingga muka surat 1604.
Artikel di atas merupakan nukilan ringkas dari buku yang berjudul, “Data-Data Terbitan Awal Penterjemahan & Penafsiran Al-Qur’an Di Alam Melayu”, karya Muhammad Nur Lubis. Terbitan Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur, cetakan pertama 2002. Hal. 99-111. Sila baca buku tersebut untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai kitab ini.