Alhamdulillah minggu lepas saya dan Encik Suami berkesempatan pulang ke kampung halaman kami di selatan tanah air. Kali terakhir kami berada di kampung adalah sewaktu sambutan hari raya Aidilfitri.
⏵ RABU, 4 SEPTEMBER 2024
Kami bertolak dari rumah Perlis sebelum waktu Zohor dan tiba di Cyberjaya kira-kira pukul 8.30 malam. Encik Suami pergi berjumpa seseorang, sementara menunggu tu saya makan di Saba Restaurant.
Selesai urusan, kami balik ke rumah NS untuk bermalam.
Kunafa di Saba Restaurant. Sedap tapi tak mampu nak habiskan makan.
⏵ KHAMIS, 5 SEPTEMBER 2024
RESTORAN SALOMAK SAMPODEH | Paginya rancang nak bersarapan di Restoran Salomak Sampodeh. Tapi bertukar jadi makan tengah hari sebab kami sampai sekitar pukul 10 pagi, makanan tengah hari dah terhidang. Rezeki sungguh! Dapatlah kami makan masakan cita rasa Nismilan (Negeri Sembilan) di negeri asalnya.
Deretan lauk-pauk yang cukup menggoda. Tapi sebab masih awal, ada menu yang belum siap dimasak.
5 jenis lauk pilihan kami. Sedap semuanya 😋
Sedang kami menikmati makanan, pemilik restoran iaitu pasangan suami isteri jiran belakang rumah kami pun tiba. Terkejut mereka nampak kami orang jauh ada di restoran mereka. Dulu kerap jugalah saya dan jiran berborak di lorong belakang rumah kami, tapi sejak berpindah jauh ni memang dah lama kami tak berborak.
Alhamdulillah…tumpang seronok dengan kejayaan jiran kami mengusahakan restoran ini. Syukur juga sebab memudahkan saya nak menikmati masakan Nismilan – lokasinya tak begitu jauh dari rumah NS, menawarkan pelbagai jenis hidangan tradisi dan harganya yang berpatutan dengan rasanya yang memenuhi selera saya. Moga Restoran Salomak Sampodeh terus maju jaya!
VECHAIR TECHNOLOGY | Selepas makan, kami ke showroom menjual kerusi roda di Seri Kembangan, Selangor. Sejak awal tahun ini Mak saya dah mula menggunakan kerusi roda. Dan baru-baru ini kami adik-beradik sepakat nak belikan pula kerusi roda elektrik, lebih mudah Mak bergerak tanpa perlu bantuan orang tolak kerusi roda. Tangan Mak dah tak kuat untuk gerakkan sendiri kerusi roda.
Tapi tak banyak pilihan dan tiada stok kerusi roda elektrik di Pontian, berbeza di bandar besar kawasan Lembah Klang ni memang lebih banyak pilihan dan harganya kompetitif.
Terdapat pelbagai jenis alat bantuan pergerakan dijual di sini. Kita boleh cuba sendiri sebelum membeli.
Kami beli kerusi roda elektrik jenis begini. Boleh guna di dalam rumah dan luar rumah. Ada 5 kelajuan dan perlu cas penuh selama 8 jam untuk pergerakan anggaran sejauh 16 km.
Bagi yang nak cari alat bantuan pergerakan, saya syorkan beli di sini. Harga berpatutan, layanan yang cukup mesra, sangat mudah berurusan dan penerangan produk yang jelas. Boleh lawati media sosial mereka di Instagram, Facebook, TikTok, Youtube – @vechair.
RUMAH KOPI SOGAMA | Alhamdulillah kami sampai di Pontian, Johor sekitar pukul 6.30 petang. Sebelum sampai rumah mak, kami singgah makan di Rumah Kopi Sogama. Keadaan di hadapan kedai sesak dengan kenderaan sebab masa ni budak-budak balik sekolah agama.
Biasanya kalau ke sini, kami duduk di bahagian luar belakang/tepi. Kali ini kami dapat duduk dalam sebab pelanggan tak ramai.
Saya suka makan di sini sebab servis pantas walaupun sewaktu ramai pelanggan. Pilihan menu memang tak banyak, tapi yang ada ni pun dah cukup sedap memuaskan selera saya.
⏵ JUMAAT, 6 SEPTEMBER 2024
Petang hari Jumaat, saya dan ahli keluarga yang ada di Pontian datang berkumpul di rumah Mak kami. Alhamdulillah seronok dapat berkumpul dan berborak sambil menikmati hidangan ringkas. Tak ramai pun, semuanya 13 orang saja termasuk kami suami isteri.
Sate, nasi lemak dan carrot cake kami beli di Rumah Kopi Sogama.
Beli sate 150 cucuk je, tak perlu tempahan awal. Kami cuma maklumkan beberapa jam sebelum nak ambil. Sate ni disediakan oleh penjual yang menyewa gerai di Rumah Kopi Sogama. Sedap rasa sate dan kuah satenya.
⏵ SABTU, 7 SEPTEMBER 2024
PAK LURAH BISTRO | Dari kampung saya, kami menuju ke kampung Encik Suami di Batu Pahat, Johor. Sebelum sampai rumah mak mentua, kami singgah makan di Pak Lurah Bistro. Kedai makan di tepi Jalan Besar Parit Sulong ni dah jadi macam satu tempat wajib singgah setiap kali kami balik kampung.
Kopi chandu ais, kacang pool dan nasi kambing dengan dendeng kambing. Sebab sedap sungguh dendeng kambingnya, kami beli bawa balik dua bekas dendeng kambing – satu untuk rumah mak mentua dan satu lagi kami bawa ke Perlis.
SERI MEGA SEAFOOD | Lewat petangnya, kami keluar makan malam bersama mak mentua dan adik ipar sekeluarga.
Kali ini saya puas hati dapat makan sotong celup tepung, bukan cekodok sotong. Makanan lain yang dipesan juga semuanya sedap. Alhamdulillah!
⏵ AHAD, 8 SEPTEMBER 2024
Seawal pukul 8.30 pagi kami bertolak dari rumah mak mentua menuju ke rumah Perlis. Ikut rancangan asal, kami nak gerak lewat sedikit dan di pertengahan jalan akan bermalam di hotel. Tapi tiba-tiba Encik Suami ada urusan penting di Perlis pada pagi Isnin. Maka terpaksalah ubah rancangan.
Dalam perjalanan, kami keluar tol untuk singgah ambil barang di rumah NS. Lepas tu terus makan tengah hari dan membeli keperluan di Aeon Nilai. Gitu gini, lebih dua jam jugalah habis masa di Nilai.
Perjalanan balik ke utara lancar tanpa halangan. Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah Perlis pada pukul 10 malam. Jumlah jarak perjalanan dari negeri paling utara ke negeri paling selatan (pergi dan balik) – 1,915 km. Satu lagi rekod yang pahit untuk ditelan – berat badan saya naik 2 kg dek berselera makan di sana sini 😂
Terima kasih Allah atas segala kurnia 💙
Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.