- Imam asy-Syafi`i dan sahabat-sahabatnya (yakni ulama-ulama mazhab Syafi`i) menyukai (dihukumkan mustahab) agar dibacakan sesuatu dari al-Quran di sisinya (di sisi perkuburan), bahkan mereka menyatakan jika sekiranya dikhatamkan sekalian al-Quran itu adalah baik.
Dalam kitab “ad-Dzakhiratuts-Tsaminah” dinyatakan :-
- Dan sesungguhnya terdapat riwayat mutawatir bahawasanya Imam asy-Syafi`i telah menziarahi kubur Imam Laits bin Sa`ad dan beliau telah memujinya dengan pujian yang baik dan telah membaca di sisi kuburnya al-Quran sekali khatam. Seterusnya beliau berkata: ” Aku berharap agar berterusan perbuatan ini”, dan begitulah berterusan perkara tersebut seperti demikian.
Dalam kitab yang sama juga dinyatakan:-
- Imam al-Khallal telah meriwayatkan Imam asy-Sya’bi sebagai berkata:- “Adalah orang-orang Anshar, jika ada yang meninggal dunia di antara mereka, maka mereka secara bergantian datang ke kuburnya untuk membacakan al-Quran.
Akhir kalam, buat kali ini, insya-Allah, Syaikh Abdur Rahman al-Jaziri dalam kitab “al-Fiqh ‘ala Madzahibil Arba`ah” menyatakan:-
- Dan sewajarnya bagi orang yang menziarahi tanah perkuburan untuk menyibukan dirinya dengan doa dan tadharru` (merendah diri) dan mengambil iktibar dengan orang-orang mati serta membacakan al-Quran untuk si mati. Maka yang sedemikian tadi bermanfaat untuk si mati atas qawl yang asah.
Yang tak nak baca, tok sahlah baca, duduk diam-diam, bertafakkur ke, ikut style Samy Velu. Kita yang bermazhab Syafi`i, bacalah al-Quran dan diakhiri dengan doa dan istighfar.






































