Antaranya sebagaimana senarai di bawah :-
1 .Niat Yang Ikhlas
Ikhlas di dalam niat adalah asas penerimaan segala ibadat. Firman Allah yang bermaksud :” Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap tetap teguh di atas Tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan demikian itulah agama yang benar ” Dan Sabda Rasulullah S.A.W daripada Saidina Omar bin Al-Khattab yang bermaksud: ” Setiap amalan adalah bergantung kepada niat dan seseorang itu akan menerima ganjaran mengikut niatnya”.
Apabila seseorang itu berazam hendak menunaikan haji, ia hendaklah bersungguh-sungguh bertaubat dari segala maksiat dan segala yang dibenci oleh syarak dan berterusan taubatnya serta disertai dengan istighfar dan meninggalkan segala perbuatan zalim terhadap hamba-hamba Allah. Menjelaskan segala yang boleh segala hutang-hutangnya, mengembalikan segala amanah yang ada di tangannya, meminta halal dari orang yang ia berurusan dengan mereka dan sahabat handainya, menulis wasiat samada yang bersangkut dengan hak-hak Allah mahupun dengan hak-hak hamba dan dipersaksikan wasiat itu dan mewakilkan untuk ditunaikan hutangnya dan membekalkan belanja untuk keluarga dan orang-orang yang di bawah tanggungannya yang mencukupi sehingga masa kepulangannya.
Berusaha untuk mencapai keredhaan kedua ibubapa, kaum kerabat dan guru-guru. Jika ia seorang isteri hendaklah ia mendapatkan keredaan suaminya dan kaum kerabatnya. Bagi suami disunatkan mengerjakan haji bersama-sama isterinya. Jika seseorang itu ditegah oleh salah seseorang ibubapanya dari mengerjakan haji, hendaklah dilihat jika ditegah dari mengerjakan haji fardhu maka tegahannya itu tidak perlu dihiraukan kerana ibubapanya sudah melakukan maksiat dengan tegahannya itu. Apabila ia berihram bapanya tidak boleh memaksanya bertahallul dari ihramnya. Walaubagaimana pun jika haji itu haji tatawwu’ (sunat ) tiada harus baginya berihram dan jika ia berihram harus bagi bapanya memaksanya bertahallul mengikut qaul yang saheh. Adapun suaminya berhak menghalangnya dari mengerjakan haji fardhu mengikut qaul yang azhar kecuali di didalam beberapa keadaan kerana hak suami terhadap isteri itu segera, manakala menunaikan haji fardhu tiada dengan segera.
Wang perjalanannya hendaklah daripada sumber yang halal yang tiada subahat kepadanya. Jika ia mengerjakan haji dengan wang yang haram, hajinya sah pada zahir tetapi ia tidak akan menjadi haji mabrur. Jauh dari diterima oleh Allah. ini adalah menurut Imam Shafie, Malik dan Abu Hanifah dan Jumhur Ulamak salaf dan khalaf tetapi di sisi Imam Ahmad bin Hambal tiada sah hajinya dengan harta yang haram.
Disunatkan berbekal dengan bekalan dan perbelanjaan yang lebih bagi tujuan membantu orang-orang yang berhajat kepada bantuan dan hendaklah bekalan itu dari barang-barang yang bermutu baik dan halal serta diniatkan dengan ikhlas. Firman Allah yang bermaksud: ” Wahai orang-orang beriman belanjakanlah ( pada jalan Allah ) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya. ( Lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat)”.
Sunat menjauhi tawar menawar yang berlebih-lebihan ketika membeli barang-barang untuk keperluan haji bagi dirinya demikian juga barang-barang yang hendak dibuat kebajikan dengannya untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Tidak digalakkan bersekutu di dalam perbelanjaan kerana bersekutu itu boleh menghalang seseorang itu melakukan berbagai-bagai kebajikan sekalipun diizinkan oleh rakan sekutunya tetapi tidak dapat dipercayai sejauhmana keredhaannya. Jika kedua-duanya bersetuju membuat kebajikan, maka disunatkan masing-masing menggunakan di bawah kadar haknya.
Adapun berhimpun, makan beramai-ramai, bergilir-gilir belanja makan adalah baik dan elok. Seseorang itu dibolehkan memakan lebih banyak dari rakan-rakannya jika ia percaya atau ada pada zatnya yang rakan-rakannya tidak menghalang. Jika tidak hendaklah makan mengikut keadaan habuannya.
Eloklah kita mendapatkan rakan-rakan, teman yang sesuai yang cenderung kepada kebajikan dan bencikan kejahatan. Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud: ” Sebaik-baik rakan ialah bila kita lupa ia mengingatkan dan bila kita ingat ia membantu ” Amatlah baik sekiranya rakan-rakan itu dari golongan orang-orang yang berilmu ( Ulama ) kerana ia sangat membantu ke arah melakukan berbagai-bagai kebajikan dan berakhlak mulia dan dengan ilmu dan amalannya, ia dapat mencegah rakannya dari keburukan yang boleh berlaku daripada seseorang musafir iaitu perangai-perangai yang tidak baik seperti tidak sabar, keluh kesah dan sebagainya.
Apabila seseorang hendak meninggalkan rumah dan bermusafir, disunat menunaikan dua rakaat sembahyang sunat musafir. Niat sembahyang sunat musafir ialah ” Sahaja aku sembahyang sunat musafir dua rakaat kerana Allah Taala”. Dibaca pada rakaat pertama selepas Al-Fatihah, Surah Al-Kafirun dan rakaat kedua selepas Fatihah, Surah Al-Ikhlas.
10. Mengucap Selamat Tinggal .
Sunat mengucap selamat tinggal kepada keluarga, jiran dan kawan-kawan kerana telah sabit bahawa Rasulullah S.A.W apabila hendak musafir, baginda pergi menemui sahabatnya dan memberi salam kepada mereka dan apabila pulang mereka ( sahabat-sahabat ) pula datang menemuinya dengan mengucapkan salam kepada baginda. Orang hendak musafir mendatangi kerana ia yang hendak berpisah dan orang yang pulang didatangi untuk diucap tahniah dan selamat pulang. Yang hendak bermusafir dan yang mengucapkan selamat berangkat masing-masing saling berdoa di antara mereka.
Menjauhi kekenyangan yang berlebih-lebihan dan berhias-hiasan, tiada mempelbagaikan makan minum, berurusan dengan lemah-lembut sekalipun dengan khadam dan orang suruhan. Tiada bersikap kasar lebih-lebih lagi terhadap peminta bantuan sedekah dan seumpamanya. Menjauhi perkelahian, pertengkaran, dan berpusu-pusu dengan manusia yang ramai di mana jua. Memelihara dari percakapan yang kotor, maki-hamun, mengumpat serta mengata. Sentiasa mengingati sabda Rasulullah S.A.W. Maksudnya : ” Tiada mengeji orang yang berjalan tanpa bekalan bahkan mereka bersimpati dengannya dan membantunya sekadar yang boleh atau menolaknya dengan baik dan berdoa untuknya ”
Sunat membanyakkan berdoa sepanjang masa perjalanannya untuk dirinya, dua ibubapanya, para kaum kerabat dan sekalian orang muslimin. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya : ” Tiga permohonan yang diterima oleh Allah iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang musafir dan doa dua ibubapa terhadap anaknya”.
Berkekalan di dalam thaharah atau pun bersuci dan sentiasa memelihara sembahyang dan orang yang bermusafir juga diharuskan mengqasar atau menjamakkan sembahyangnya jika mencukupi syarat-syaratnya.
Akhirnya apabila seseorang itu berazam menunaikan fardhu Haji, hendaklah ia mempelajari khafiatnya iaitu segala rukun-rukun, syarat-syarat, wajib-wajib dan yang haram di dalam ihram dan yang merosakkan. Ini adalah fardhu ain. Tidak sah ibadat mereka yang tiada mengetahuinya. Sunat dibawa bersama kitab yang menerangkan amalan haji dan selalu membacanya kerana dibimbangi berlaku kesilapan atau ketinggalan syarat atau rukun atau umpamanya yang boleh merosakkan ibadat haji dan umrahnya. Ada orang yang terikut-ikut di dalam mengerjakan ibadah haji ini dengan orang-orang yang disangkakan mengerti dalam perkara ibadat haji itu seperti sebahagian penduduk-penduduk Makkah, padahal mereka juga tiada mengerti maka ia jadi tertipu dan akibatnya hajinya tidak diterima.









