![]() |
Beliau adalah seorang yang terkenal dengan sikap tawaduk, alim, zuhud, berkarisma dan komited dalam melakukan amal akhirat untuk dirinya. Beliau sering didapati memakai sehelai jubah yang bersih dengan kopiah di atas kepalanya serta seluruh hidupnya digunakan untuk beribadat kepada Allah. Baki dari waktunya dihabiskan untuk menulis dan mengkaji ilmu agama.
Hasil penulisannya, sebagaimana yang boleh didapati kini cukup memberi manfaat kepada kaum muslimin sejak ia ditulis hingga ke hari ini. Tiada royalti, tiada sebarang upah dalam hasil kerjanya semata-mata mengharapkan rahmat Allah sebagai bekalan hari akhirat. Kitab tafsirnya itu adalah sebaik-baik kitab dalam menghuraikan ayat al-Quran berpandukan nahu Arab dengan sandaran ayat al-Quran, hadis dan juga syair Arab. Beliau turut menjelaskan setiap hukum berdasarkan fiqh mazhab di samping diselitkan panduan dan peringatan dengan hari akhirat.
Berkata Ibn Farhun: “Hasil karyanya ini adalah yang paling baik pernah aku baca dan dia (al-Qurtubi) menulis banyak kitab lain yang sangat bernilai dan bermutu tinggi.”
Ada baiknya kita soroti sedikit ulasan beliau terhadap kitabnya ini secara ringkas:
“Adapun, al-Quran ini merupakan satu kitab yang penting bagi melaksanakan hukum syarak, selain sunnah dan juga kewajiban yang lain. Ia diturunkan oleh pembawa amanah dari langit (Jibrail) kepada pemegang amanah di muka bumi (Rasulullah SAW). Oleh itu, aku merasakan aku ‘patut’ untuk berkhidmat dengannya sepanjang hidupku, meluangkan masa dari segala kesibukanku terhadap dunia ini. Aku berusaha untuk menulis ulasan dan huraian secara ringkas dalam al-Quran itu berdasarkan huraian dan tafsiran ulama, dari aspek bahasa, ikrab, hukum qiraat selain turut menempelak golongan yang sesat dan menyeleweng.
Begitu juga, aku membentangkan beberapa hadis yang menjadi penguat dari aspek hukum dan sebab-sebab penurunan sesebuah ayat tersebut dengan gabungan di antara maknanya yang tersirat. Selain itu, turut diterangkan segala isu permasalahan yang timbul berdasarkan pendapat ulama salaf dan generasi yang mengikuti jejak langkah mereka dari kalangan ulama khalaf (terkemudian)…
…dan aku meletakkan dua syarat di dalam kitabku ini, iaitu [1] menyandarkan setiap perkataan kepada orang yang menyebutnya dan [2] menyatakan hadis dari sumbernya yang asal. Kerana para ulama menyatakan bahawa keberkatan ilmu itu didapati daripada setiap komentar yang disandarkan kepada orang yang mengatakannya dan juga setiap hadis itu di sebutkan sumber asalnya.
Keberkatan ilmu itu didapati daripada setiap komentar yang di’sandar’kan kepada orang yang mengeluarkan kenyataan itu. Ini kerana terlalu banyak hadis yang dikutip dari kitab fiqh dan tafsir yang diragui kesahihannya (mubham). Tidak akan diketahui siapakah yang mengatakannya kecuali apabila dirujuk semula ke dalam kitab-kitab hadis.
Keadaan sebegitu, sebenarnya tidak diterima sebagai hujah dan pendalilan sehinggalah mereka mengeluarkannya dengan ’sandaran’ kepada seseorang tokoh ulama yang terkenal, dipercayai dan disegani di kalangan ulama Islam. Maka, inilah yang kami (penulis) syaratkan di dalam kupasan kitab ini, semoga Allah menunjukkan jalannya yang benar!
Aku menghindari dari memasukkan terlalu banyak kisah-kisah para mufassir dan juga sejarawan melainkan yang benar-benar penting bagi sesuatu hal yang sememangnya perlukan penjelasan berkaitan sesebuah hukum, atau memberikan panduan kepada pengkaji untuk mendapatkan keputusannya. Aku turut meletakkan bagi setiap ayat sandaran padanya cuma satu hukum fiqh ataupun dua hukum sahaja, malah sesetengahnya ditambah dengan keterangan yang bersangkutan dengan ayat tersebut seperti sebab-sebab penurunan ayat, tafsiran, kalimah pelik (gharib) dan juga hukum.
Semoga Allah merahmati beliau! Amin…





































