


Shalawat yang ke 19 iaitu Shalawat Sayyidi asy-Syaikh Hasan Abu Halaawah al-Ghazi, iaitu Allahumma shalli ‘ala Sayyidina Muhammadinil Habibil Mahbub, Syaafil ‘Ilal, wa Mufarrijil Kuruub, wa ‘ala aalihii wa sahbihii wa sallim. Ini adalah shalawat yang mujarrab untuk melepaskan kesusahan yang telah ditalqinkan dan ijazahkan kepadaku oleh Sayyidi al-Wali al-Mu’taqid asy-Syaikh Hasan Abu Halaawah al-Ghazi yang bermastautin di Baitul Maqdis pada tahun 1306H, ketika aku mengadu kepada beliau mengenai kebimbangan dan kesusahan yang aku alami. Maka setelah aku mengamalkan shalawat ini, Allah telah memberikan aku kelepasan dari kesusahanku dan menyampaikan hajatku melebihi apa yang aku harapkan, semuanya dengan kelebihanNya dan ihsanNya jua, berkat shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Dalam buku shalawat,ย al-Wasiilatul Harriyyah,ย yang dihimpun oleh Kiyai Ahmad Qusyairi bin Shiddiqย rahimahullah shalawat ini turut dimuatkan sebagai shalawat yang ke-51 pada halaman 39. Dalam komentarnya, Kiyai Ahmad Qusyairi rahimahullah menyatakan sebagai berikut:-ย Shalawat yang mujarrab bagi melepaskan kesusahan dan menghasilkan hajat permohonan. Telah diijazahkan kepadaku oleh wali Quthub al-Bankalani (yakni Syaikh Khalil Bangkalan).
Walaupun sesetengah ulama tidak bersetuju dengan penggunaan nama “asy-Syafi” kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana bagi mereka asy-Syafiย (Penyembuh) adalah Allah `azza wa jalla. Namun, ramai juga ulama kita yang membenarkannya, bahkan memuatkannya dalam kitab – kitab mereka sebagai salah satu nama bagi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ini adalah kerana ianya masih boleh ditakwil dan adalah atas makna majaz dan bukannya hakikat. Maulana Musa Ruhani Bazi rahimahullah dalam mukaddimah beliau atas kitab wirid shalawat al-Barakaatul Makkiyyah pada halaman 52 menerangkan sebagai berikut:-ย ย Maka nama-nama yang disebut tadi (yakni nama – nama seperti al-Munji, asy-Syafi, al-Mughni, al-Maladz, al-Ghiyaats, al-Ghauts, al-Mughits, al-Munqidz, an-Nadzir man khalfahu, Daafi`ul Balaya, al-Ghafurul Ummah, Kaasyiful Karbi dan seumpamanya yang menjadi pertikaian antara ulama) tercatat dalam kitab-kitab yang muktamad dan masih dapat difahami ertinya dengan makna yang betul selepas ditakwil dan boleh digunakan untuk Junjungan Nabi `alaihis salam dengan melihat kepada beberapa aspek sudut pandangan…

Syaikh Ahmad Mamduh, setiausaha Darul Ifta` al-Mishriyyah (Majlis Fatwa Mesir) ketika ditanya dalam satu program TV berjodol “Fatawa an-Naas”ย tentang shalawat yang mengandungi lafaz Syafil ‘Ilal wa Mufarrijil Kuruub, menyatakan bahawa shalawat ini adalah di antara shighah shalawat terindah lagi benar dan boleh untuk dibaca. Shalawat tersebut tidak bercanggah dengan akidah tauhid, hanya apa yang berlaku dalam masyarakat adalah kerana terlalu allergic dengan kesyirikan telah menyebabkan timbulnya sikap bermudah-mudah untuk mensyirikkan sesuatu, sedangkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: “Aku tidak takut berlakunya perbuatan syirik atas umatku, akan tetapi yang aku takuti adalah perbalahan antara mereka yang berlaku dalam urusan mereka”. Menisbahkan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai “Syafil ‘Ilal” hanyalah sebagai sebab atau penawar atau ubat bagi penyembuhan, sedangkan pada hakikatnya hanya Allah yang Maha Penyembuh. Sebagaimana seseorang yang datang berubat kepada seorang doktor, lalu dia sembuh, jika dia menyatakan: “Doktor tersebut yang menyembuhkan aku”, maka yang dimaksudkannya adalah doktor tersebut telah menjadi sebab bagi kesembuhannya, sedangkan yang menyembuhkannya dan yang memberi bekas pada hakikatnya hanya Allah `azza wa jalla. Pasti tidak terbetik dalam hati seorang insan Muslim bahawa ada yang memberi bekas selain Allah `azza wa jalla. Bolehlah ikhwah sekalian baca penjelasan Syaikh Ahmad Mamduh tersebut dalam laporan di lamanย web Akhbarak atau cari video penjelasan lanjut beliau di youtube.
Maka, tidak perlulah kita ambil pusing dengan “fatwa” yang menyesatkan susun kata dalam shalawat ini, sedangkan mereka pasti mengetahui bahawa wujudnya ikhtilaf di kalangan ulama mengenai lafaz-lafaz yang dipermasalahkan mereka itu. Jika mereka bermasalah dengan lafaz – lafaz tersebut, maka tiada siapa yang mewajibkan mereka membacanya. Namun, apa hak mereka untuk mengharamkan bahkan menghukum saudara-saudara seagama yang membacanya sebagai musyrik, sedangkan pihak yang membaca shalawat tersebut juga mempunyai sandaran dan hujjah yang benar. Maka sesiapa yang rasa imannya goyah akibat shalawat ini, berhentilah membacanya. Ramai ulama yang kepercayaan seperti almarhum Dr. Said Ramadhan al-Buthi dan almarhum Buya al-Maliki telah menyebut Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai “Syafil ‘Ilal”, maka tergamakkah kita untuk menghukum mereka dan juga setiap muslim yang memanggil Junjungan Nabiย shallaAllahu `alaihi wa sallamย sebagaimana tersebutย sebagai musyrik hanya semata-mata kita mengertikan nama tersebut menurut pemahaman kita yang dangkal? Mudah-mudahan kita sentiasa istiqamah atas jalan yang sebenar Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang sentiasa berhati-hati dalam menghukum.












