

Imam Syamsuddin Muhammad bin Abil `Abbas Ahmad bin Hamzah ar-Ramli al-Anshari rahimahullah, pengarang kitab “Nihayatul Muhtaj”
yang masyhur, dalam fatwanya yang dicetak di tepi himpunan fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah dengan berjodol “al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah”, jilid 4, halaman 382 – 383 menyatakan (terjemahan bebas):-
- (Ditanyai)
mengenai apa yang dilakukan orang awam dari ucapan mereka sewaktu
kesusahan “Ya Syaikh Fulan”, “Ya RasulAllah”, dan seumpamanya dari
ucapan-ucapan istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama
dan sholihin, maka adakah perkara ini jaiz (harus) atau tidak ? Dan
adakah bagi para rasul, para nabi, para wali, sholihin dan masyaikh
pertolongan (yakni memberi pertolongan) selepas mereka mati, dan apakah
yang rajih pada yang demikian ?
- (Maka dijawab) Bahawasanya istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama dan sholihin adalah HARUS. Dan bagi
para rasul, para nabi, para wali dan sholihin pertolongan selepas
mereka mati kerana bahawasanya mu’jizat para nabi dan karamat para wali
tidak putus dengan matinya mereka. Adapun para nabi maka mereka
hidup di dalam kubur-kubur mereka, sembahyang mereka dan berhaji mereka
seperti yang warid diberitakan dalam beberapa hadis, dan jadilah
pertolongan daripada mereka mu’jizat bagi mereka. Para syuhada` juga
hidup, disaksikan mereka itu dengan jelas memerangi segala kuffar.
Adapun para wali maka ianya adalah karamah bagi mereka. Sesungguhnya
Ahlul Haqq berpegang bahawasanya berlakunya karamah para wali dengan
niat (sengaja) mereka atau tanpa ada sebarang niat adalah suatu
perbuatan yang mencarik adat yang dilakukan oleh Allah ta`ala
dengan sebab mereka. Dalil atas harusnya perkara ini berlaku adalah
kerana ianya termasuk dalam perkara mumkin, oleh kerana itu tidaklah
menjadi mustahil ianya untuk berlaku, maka setiap perkara seperti atas
adalah harus untuk berlaku. Antara dalil berlakunya karamah ialah kisah
Siti Maryam dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya sebagaimana
diceritakan dalam al-Quran; kisah Sayyidina Abu Bakar dengan
tetamu-tetamunya sebagaimana tersebut dalam kitab hadis shohih; kisah
Sungai Nil banjir dengan sebab surat Sayyidina ‘Umar; kisah Sayyidina
‘Umar sedang atas mimbar di Madinah dapat melihat tenteranya di Nahawand
serta boleh berbicara dengan panglimanya, di sini juga dapat diambil
sebagai karamah bahawa tentera tersebut dapat mendengar kata-kata
Sayyidina ‘Umar sedangkan antara mereka dengan Sayyidina ‘Umar jarak
perjalanan 2 bulan; kisah Sayyidina Khalid meminum racun tanpa memberi
mudarat. Dan telah berlaku berbagai perkara mencarik adat atas tangan
para sahabat dan para tabi`in dan orang-orang yang selepas mereka yang
tidak mungkin untuk diingkari ketawaturannya yang telah disepakati.
Sebagai kesimpulannya, apa yang harus berlaku sebagai mu’jizat untuk
nabi, haruslah berlaku sebagai karamah bagi wali. Tiada perbezaan antara
keduanya selain daripada at-tahaddi (“mencabar” yakni mu’jizat itu sifatnya mencabar musuh atau melemahkan musuh).






































