Dalam entri yang lepas, faqir berkongsi kisah Sidi Rifa`ie dengan kucing dan nyamuk, maka dalam entri ini, faqir kongsikan kisah beliau dengan haiwan najis mughallazah iaitu anjing. Sebagaimana yang diketahui, membela anjing tanpa sebab yang wajar seperti untuk menjaga harta, hukumnya adalah haram dan mengakibatkan pahala seseorang dipotong. Namun, ini tidak bererti seseorang boleh menyakiti atau menzalimi anjing. Bahkan, Islam menyuruh berbuat ihsan hatta kepada makhluk anjing, hingga diriwayatkan dalam hadis yang shahih bahawa ada orang yang mendapat keampunan Allah gara – gara memberi anjing yang kehausan minum. Namun, tidaklah perlu sampai menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan (pet) untuk hiburan semata atau suka – suka untuk menyentuh dan membelainya. Silalah rujuk kepada ulama dan kitab tentang perincian hukum membela dan menyentuh anjing, haiwan yang sekujur badannya, dalam mazhab kita, dikategorikan sebagai najis mughallazah.
Kisah ini disebut oleh al-`Allaamah al-Muhaqqiq al-Muarrikh Syaikh Muhammad Thahir bin ‘Abdul Qadir al-Kurdi rahimahullah. Kisah ini beliau catat dalam Tuhfatul `Ibaad pada halaman 147 – 148. Syaikh Muhammad Thahir menyatakan bahawa beliau pernah mendengar cerita tentang seekor anjing yang terkena penyakit judzam (leprosy) sehingga penduduk negeri / bandar tempat tinggal Sayyid Ahmad ar-Rifa`ie radhiyaAllahu `anhu memandangnya dengan jijik. Maka Sidi Rifa`ie telah membawa anjing tersebut ke hutan / padang yang tiada berpenghuni, lalu mendirikan tempat berteduh bagi anjing tersebut. Beliau juga mengurus makan minum serta merawat anjing tersebut selama 40 hari sehingga anjing tersebut sembuh. Setelah sembuh, beliau memandikan anjing tersebut dengan air panas dan membawanya balik ke bandar. Penduduk bandar bertanya kepada Sidi Rifa`ie tentang kesungguhan beliau menjaga dan mengambil berat tentang kebajikan anjing tersebut. Beliau menjelaskan bahawa beliau khuatir nanti Allah akan mempersoalkan belaiu kerana tidak menaruh kasihan belas kepada satu makhluk daripada makhluk – makhlukNya.
Sebenarnya kisah ini telah dikisahkan dan dinukil oleh ulama kita terdahulu hatta oleh ulama Nusantara. Dalam kitab Hadiqaatul Azhar karya Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah pada halaman 126 – 127 dikisahkan sebagai berikut: … Dan hasil bagi seekor anjing judzam, maka diluatikan dia oleh segala nafsu ahli negerinya. Dan jadilah tiap – tiap seorang itu dihalaukan dia daripada pintunya. Maka diambilkan dia oleh Sayyidi Ahmad ar-Rifa`ie dan keluar ia dengan dia ke padang dan dibuat baginya tempat berteduh dan diubatikan dia dan diberi makan dan minum akan dia hingga sembuh ia kemudian daripada 40 hari. Dan dimandikan dia dengan air panas kemudian dimasukkan dia ke negeri. Maka dikata orang baginya: “Engkau amat – amati dengan ini anjing akan sebagai ini amat – amati?” Katanya: “Bahkan takutku bahawa berkata Allah ta`ala bagiku pada hari kiamat, “Tiadakah bagimu kasihani bagi itu anjing? Tiada takutmu bahawa Aku bala`kanmu dengan itu bala`?”……
Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.