Kembali Ke Rumah Perlis Setelah 12 Hari 12 Malam
Catatan rekod paling lama setakat ini, kami tinggalkan rumah Perlis selama 12 hari 12 malam mulai hari Khamis 8 Februari pukul 7 pagi dan kembali pada hari Selasa 20 Februari kira-kira pukul 5.30 pagi 😅
Balik kampung di Johor cuma 2 malam, manakala 9 malam tu saya menetap di rumah NS untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan balik kampung dan juga atas urusan kerja Encik Suami. Satu malam lagi kami berada atas jalan, siap tidur entah 4 atau 5 kali di hentian dek nak menghilangkan rasa mengantuk.
R&R Bukit Gantang, salah satu hentian tempat kami melelapkan mata. Buka tingkap sedikit dan matikan enjin. Suasana tenang dan agak lengang. Pengalaman baru buat kami, tidur dalam kereta di beberapa hentian dan menyaksikan pengorbanan para pemandu kenderaan berat yang hanya melelapkan mata dalam kenderaan masing-masing.
Kembali Menikmati Keindahan Alam
Saya seorang yang suka menikmati alam semula jadi. Tempoh masa 12 hari meninggalkan rumah Perlis terasa lama. Tambahan pula hampir setiap hari saya buat ‘morning walk’, jadinya terasa ada sesuatu yang tak lengkap bila lama tak buat.
Petang hari pertama tiba di rumah, saya bersama Encik Suami keluar jalan-jalan di sekitar rumah. Macam biasa, cara saya menikmati alam adalah dengan memerhati dan memotret.
Saya letak di sini foto dan video berikut sebagai kenangan :
Rumput kekeringan dek cuaca panas melampau dan taburan hujan yang sangat kurang (hampir tiada) di bumi Perlis ekoran musim angin timur. Setiap kali melangkah, saya boleh dengar bunyi derap rumput kering dipijak. Fenomena ini berlaku antara bulan Disember hingga Mac setiap tahun. Fakta ini saya ketahui hanya setelah menjadi sebahagian daripada penduduk Perlis 😄
Pemandangan indah sinaran matahari dari celahan awan. Fenomena ini dikenali sebagai sinaran krepuskular (crepuscular ray).
Sinaran krepuskular ialah sinaran cahaya matahari yang terbentuk apabila matahari berada rendah di ufuk ketika sedang terbenam atau terbit dan dilindungi oleh gunung-ganang atau awan yang rendah. (Sumber info dan bacaan lanjut di laman web MYSA).
Bunga liar yang menarik perhatian saya.
Terpesona saya memerhatikan pokok lalang meliuk dibuai angin yang agak kuat.
Rasa seronok dan tenang jiwa saya dapat memerhatikan alam. Terima kasih Allah atas kurniaan nikmat hidup di tempat yang sesuai dengan jiwa saya meskipun ada beberapa hal lain yang perlu saya terima seadanya.
.
Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.