[Catatan Trip ke Bangkok – Hari Kedua | Khamis, 29 Jun 2023]
Bersambung kisah hari kedua di Bangkok, iaitu pada Hari Raya Aidiladha. Selepas selesai solat sunat Aidiladha di Masjid Darul Aman, kami kembali ke bilik penginapan untuk berehat seketika.
HARI RAYA, ADA KE KEDAI MAKAN MUSLIM YANG BUKA?
Kira-kira pukul 10.30 pagi kami keluar untuk cari makanan berat sebelum meneruskan acara jalan-jalan di Bangkok. Perancangan kami kalau tak ada kedai makan halal yang beroperasi (sebab cuti hari raya), kami akan beli saja makanan halal yang ada di 7-Elevan (mungkin makanan seperti buah, nasi dalam pek dan telur rebus). Lepas tu nanti carilah makanan lain sewaktu berjalan-jalan.
Tapi tadi kami nampak Asma Kitchen (kedai makan halal yang terletak berhadapan hotel) beroperasi. Kelihatan pekerja sibuk bekerja dan orang keluar masuk kedai. Maka kami dengan yakinnya pergi ke Asma Kitchen. Sewaktu melangkah tangga kedai, beberapa orang memandang kami dengan muka seperti pelik tengok kami. Kemudian, salah seorang pekerja beritahu kami “Close…close” sambil tangannya buat isyarat kedai tutup. Eh…nampak ramai orang, tapi close?
Kami berjalan di sepanjang Lorong Phetchaburi 7 sehinggalah ke deretan bangunan di hadapan jalan besar, mencari kot ada kedai makan halal atau gerai yang beroperasi. Tapi semuanya tutup, kecuali sebuah restoran Turki dan sebuah kedai makan di tepi masjid. Jadi kami berpatah balik menuju ke kedai makan di tepi masjid.
JAMUAN HARI RAYA
Kali ini kami lebih berhati-hati, tak terus masuk tapi bertanya kepada seorang lelaki berjubah serta berserban yang sedang duduk makan di bahagian hadapan kedai. “Open?..” tanya Encik Suami sambil tangan menunjuk arah dalam kedai. Lelaki tersebut diam seketika sambil merenung kami berdua. Kemudian beliau nampak sedikit tersenyum, kepalanya dianggukkan dan menunjukkan meja kosong di belakangnya. Ada juga kedai makan buka pada hari raya…Alhamdulillah!
Saya duduk, Encik Suami pula menuju ke banner yang memaparkan menu hidangan. Nak memilih apa yang boleh kami pesan. Tapi eh, seorang lelaki muda datang membawa dua pinggan nasi diletakkan di meja kami. Kemudian diletakkan pula satu…dua…tiga lauk! Saya bangun panggil Encik Suami yang masih sibuk membelek banner menu.
Bila kami kembali duduk di meja makan, lelaki berjubah tadi datang menghampiri kami. Sambil tersenyum beliau mempelawa kami makan. “Indonesia…Malaysia…Singapura?”, beliau bertanya. Kami kemudiannya berbual ringkas dalam bahasa Melayu. Katanya beliau pernah belajar di Narathiwat (selatan Thailand), jadinya bolehlah memahami dan bercakap bahasa Melayu (dengan bunyi loghat Kelantan).
Ringkas cerita, sebenarnya kedai tak beroperasi pada hari ini. Mereka sedang adakan jamuan hari raya buat keluarga. Ya Allah…segan sungguh saya rasa masa ni 🫣. Malu sangat, kami terjah jamuan hari raya orang tak dikenali! Langsung tak terfikir orang buat jamuan di ruang kedai sendiri. Satu pengalaman baru buat kami.
Kami dijamu dengan nasi penuh sepinggan dan tiga jenis lauk. Besar saiz hidangan lauk-pauknya. Dalam rasa segan, sempat juga saya memotret sekeping dua foto buat kenangan.
Dalam pinggan ni lauk suhun goreng campur hati dan dalam mangkuk tu saya tak pasti ayam masak kari atau rendang berkuah. Ada rasa macam rendang, tapi ada daun kari. Isi ayamnya dimasak relai daripada tulang, mudah nak makan. Sejenis lagi lauk tu mungkin isi ayam masak pedas. Sedap semuanya, habis kami makan tau 🤭
Sempat juga saya bertanya berkenaan penduduk Muslim di sini. Menurut beliau, cuma ada sekitar 10% sahaja penduduk Muslim di kawasan ini. Tapi kalau gerai/kedai makan, sekitar 50% merupakan milik Muslim. Oh, patutlah saya nampak banyak pilihan gerai/kedai makan halal di sini.
Sebelum beredar, Encik Suami bersalaman dengan Bang Li (kalau tak salah dengar namanya begitulah). Kami bertukar ucap selamat hari raya dan mendoakan Allah murahkan rezeki beliau. Sungguh, kami rasa segan menerima layanan baik begini. Tak saling kenal, tapi mungkin begitulah indahnya ikatan saudara seagama. Alhamdulillah. Terima kasih Allah mempertemukan kami dengan orang baik.
Saya agak, Bang Li dan isterinya merupakan pemilik kedai makan ini. Jadinya kalau kalian ada ke Lorong Phetchaburi 7, jangan lupa singgah makan di kedai makan bersebelahan Masjid Darul Aman ini – Rotinis namanya.
.
13.7558185100.5295185
Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.