Syaikh Abdul Ghani bin Muhammad Nur al-Hafiz al-Jarumi al-Qadahi al-Makki adalah ulama Melayu yang bermastautin dan mengajar di Mekah al-Mukarramah. Beliau merupakan cucu kepada Syaikh Wan Idris bin Wan Jamal yang digelar “Tok Syaikh Jarum” oleh Raja Fathani kerana ketajaman ilmu dan fikirannya. Syaikh Abdul Ghani rahimahullah terkenal sebagai tokoh ulama yang berkemahiran dalam al-Quran dan selain mengajar, beliau dilantik menjadi imam rasmi bagi Masjid al-‘Utaibiyyah di Mekah al-Musyarrafah. Beliau memulakan pengajian agamanya di Pondok Syaikh Abdul Rahman al-Jarumi, sebelum dimasukkan ke Maktab Mahmud, Kedah. Selesai mengaji di Maktab Mahmud, beliau dihantar gurunya, Syaikh Abdul Rahman al-Jarumi, ke Mekah untuk belajar di Madrasah Darul Ulum, Mekah dan Maahad Tahfiz Masjidil Haram. Sungguhpun beliau mengaji dan menetap di Mekah, yang di bawah penguasaan rejim Saudi-Wahhabi, beliau tetap dengan pegangan al-Asya`irah dan bermazhab Syafie. Syaikh Abdul Ghani kembali ke rahmatullah di Mekah dan dimakamkan di Jannatul Ma’la, rahimahullah…..al-Fatihah.
Di antara warisan yang ditinggalkan kepada kita oleh Syaikh Abdul Ghani rahimahullah adalah berupa risalah yang mengandungi bacaan surah Yaasin dengan kaifiat yang tertentu menurut sebahagian ulama. Risalah tersebut dinamakan sebagai Yaasin Fadhilah / Fadzilah Yasin. Risalah amalan ini beliau tulis pada 20 Sya’baan 1391H dan mengandungi bacaan surah Yaasin yang dibaca dengan kaifiat tertentu beserta doa – doanya sekali. Kaifiat amalannya pun ditulis pada awal risalah tersebut dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Sebenarnya amalan Yaasin Fadhilah telah diamalkan serta diperturunkan oleh beberapa ulama terdahulu dan sekarang. Ianya bukanlah surah Yaasin yang lain untuk dijadikan saingan bagi surah Yaasin yang biasa dibaca. Ia hanyalah kaifiat pembacaan surah Yaasin, di mana ianya dibaca dengan kaedah tertentu, seperti ada ayat yang dilebihkan atau ditambah bacaannya, dengan pengulangan ayat tersebut, juga ada penambahan dengan shalawat dan doa-doa yang munasabah disela – sela ayat yang tertentu. Jadi yang lebih atau ditambah adalah hal sedemikian, iaitu pengulangan, shalawat dan doa. Ayat – ayat surah Yaasin tetap sama dan utuh, jadi bukanlah menambah – nambah ayat al-Quran sebagaimana tohmahan sebahagian puak. Di sinilah letaknya erti “fadhilah” yakni “kelebihan”, maka maksud Yaasin Fadhilah jika diMelayukan adalah bacaan surah Yaasin yang dilebihkan atau ditambah bacaannya daripada bacaan biasanya dengan beberapa doa dan shalawat dan pengulangan ayat. Singkatnya, ia adalah “Yaasin plus doa”. Bukan maksudnya Yaasin Fadhilah adalah surah Yaasin yang lebih utama atau superior daripada surah Yaasin semata, tanpa extra doa – doa dan shalawat. Maka jangan diiktikadkan bahawa Yaasin Fadhilah itu ertinya surah Yaasin yang mempunyai keutamaan melebihi surah Yaasin semata. Sesungguhnya fadhilat keutamaan itu tergantung dengan keikhlasan, kesungguhan dan benarnya qasad seseorang untuk mengabdikan dirinya kepada Allah. Di kalangan ulama, ada yang merangkai kaedah dan doa, untuk diamalkan bersama surah Yaasin, menurut mereka ianya munasabah berdasarkan ilmu dan tajribah mereka, di mana mereka merasa mudah dan manjur untuk diamalkan. Dan hal ini tidak sesekali menyalahi sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang menyuruh kita berdoa memohon rahmat ketika sampai pada ayat – ayat rahmat dan memohon perlindungan dari azab ketika membaca ayat – ayat berkaitan azab. Pernah juga diriwayatkan yang Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam hanya mengulang – ngulang satu ayat sahaja dalam shalat malam baginda sepanjang malam tersebut. Dari sinilah, maka sebahagian ulama dan awliya` merumus kaedah atau kaifiat dalam pembacaan surah Yaasin, maka lahirlah “Yaasin Fadhilah”, “Yaasin Tunggal”, “Yaasin 7 Mubin”, “Yaasin 41” dan sebagainya. Semuanya membaca surah Yaasin, cuma dengan kaedah, kaifiat dan doa-doa yang tertentu mengikut pengalaman dan tajribah mereka sahaja.
Oleh itu jumhur ulama kita yang tidak bermasalah dengan amalan Yaasin Fadhilah ini, walaupun ada perbezaan dalam kaifiat dan bilangan pengulangan ayat atau bentuk doa dan shalawatnya. Itu tidak penting kerana tidak ada kaedah baku daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mengenainya. Semuanya bersandarkan kepada ijtihad dan tajribahnya para ulama sahaja. Namun tidak dinafikan, bahawa ada segelintir ulama kita tidak bersetuju dengan amalan tersebut, lebih tepat, tidak bersetuju dengan cara dan gaya buku atau risalah yang mengandungi Yaasin Fadhilah tersebut ditulis atau dicetak atau dibaca. Pengalaman pribadi faqir, rata – rata buku Yaasin Fadhilah yang ada di pasaran, dicetak tanpa memisahkan dengan jelas mana ayat surah Yaasin dan mana doanya. Seseorang yang baru belajar mungkin terkeliru dan menyangka rangkaian doa itu adalah satu ayat juga daripada surah Yaasin. Ini amatlah tidak wajar dan boleh mendatangkan bahaya serta mencemar kesucian ayat – ayat al-Quran. Dalam keadaan sedemikian, maka perlulah dijelaskan kepada para pembaca yang ingin membaca atau mengamalkan Yaasin Fadhilah agar mereka tidak keliru serta usahakanlah agar cetakannya jelas dan terang membezakan Kalam Allah dan kalam manusia. Boleh sahaja ditulis dengan diberikan penjelasan atau nota atau notakaki atau ditulis secara dalam kurungan atau ditulis dengan gaya / font yang berbeza atau seumpamanya. Dengan sedemikian, tidaklah berlaku pembauran antara ayat dan doa, samada dalam tulisan maupun dalam bacaan.
Untuk menghindari agar tidak berlaku kekeliruan sebegini, maka Pihak Jabatan Mufti Kedah dalam Himpunan Fatwa 2, Negeri Kedah Darul Aman pada halaman 22 – 24, ketika menanggapi masalah Buku Yaasin Fadhilah keluaran Sayyid Muhammad bin Ali al-Aydrus, Jakarta, menyatakan sebagai berikut:- Jawatankuasa telah meneliti buku tersebut di atas dan mendapati ada beberapa tempat di antara ayat dengan ayat yang berikutnya diselangi dengan shalawat dan doa dan ada ayat yang terus disambung dengan perkataan – perkataan yang asing dari Yaasin itu seperti (yakni diberikan contoh di mana ayat 81 ditulis terus dengan sambungan doa tanpa ada pemisah yang membezakan antara keduanya) …….. “Yaasin Fadhilah” ini (yakni buku “Yaasin Fadhilah” yang dikeluarkan oleh Sayyid Muhammad al-Aydrus tadi) benar – benar bertentangan dengan surah Yaasin yang sebenar. Ia bercampur aduk Kalam Allah dengan kalam manusia dan mengelirukan awam kaum muslimin, khususnya generasi yang tiada begitu mahir dengan al-Quran dan tiada mengetahui mana ayat – ayatnya yang sebenar dari al-Quran dan mana yang bukan……. (Faqir sertakan fatwa sepenuhnya di bawah nanti). Begitulah jika kita telusuri pandangan yang tidak bersetuju tersebut, mereka sebenarnya khuatir masyarakat awam yang kurang pengetahuan akan beranggapan bahawa segala doa dan shalawat tersebut sebagai ayat – ayat Surah Yaasin juga. Ini adalah kerana dalam kebanyakan cetakan Yaasin Fadhilah tidak memberikan tanda atau pemisah yang jelas untuk membezakan ayat – ayat al-Quran dan doa – doa tersebut. Jangankan yang sedemikian, sebahagian ulama menegah menulis atau meletak apa jua ayat atau apa jua tanda dalam mushaf, yang boleh mengelirukan, tanpa diberi pemisah yang jelas untuk membezakan mana ayat al-Quran dan mana yang bukan.
Dalam sanad amalan Yaasin Fadhilah yang faqir perolehi, dijelaskan sejelas-jelasnya oleh orang tua dan para guru yang mulia, rahimahumullah, bahawa ini ayat surah Yaasin, di sini berhenti dulu sebentar, lalu baca shalawat serta doa dengan suara yang pelan atau tidak senyaring membaca ayat – ayat al-Quran tadi, yakni bezakan ketinggian nada suara ketika membaca ayat dan ketika membaca yang bukan ayat sehingga dapat dibeza antara keduanya. Semua ini tujuannya adalah untuk memisahkan atau membezakan, antara ayat al-Quran dan yang bukan ayat al-Quran, demi menjaga kesucian al-Quran yang merupakan Kalam Allah. Jadi dengan sedemikian, diharap tidaklah berlaku kekeliruan atas si pembacanya.
Berbalik kepada risalah Yaasin Fadhilah Syaikh Abdul Ghani, sebagaimana dinyatakan di atas, dalam risalah tersebut ada dijelaskan oleh beliau akan kaifiat, tertib dan bacaan – bacaan fawatih yang tiga (mengikut sanad amalan beliau), iaitu untuk Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Nabi al-Khadhir `alaihis salam dan Syaikh Abdul Qadir al-Jailani qaddasaAllahu sirrahul `aziz, sebelum memulakan bacaan Yaasin tersebut. Menarik lagi, beliau menulis kaifiat tersebut bukan sahaja dalam Bahasa Melayu, juga dalam Bahasa Inggeris. Setelah faqir buat carian, rupa – rupanya Syaikh Abdul Ghani adalah seorang ulama yang mahir berbahasa Inggeris dan mempunyai ramai murid dari Afrika Selatan dan Eropah, di mana beliau mengajar mereka dengan menggunakan Bahasa Inggeris. Dalam penjelasan tersebut beliau menegaskan bahawa pada tempat yang tertentu yang telah ditandai dengan “x”, si pembaca hendaklah berhenti dahulu sebentar dan membaca doanya, dengan kata beliau: “…In this Fadzilah Yasin there are a few verses denoting x, where one should pause reciting and seeks Allah’s blessings ……” Jadi, selaku ulama yang mahir al-Quran lagi hafiz, beliau, rahimahullah, amat menjaga agar jangan sampai si pembaca terkeliru. Maka sebelum membaca doa tambahan atas sesuatu ayat tadi, seseorang hendaklah memisahkannya dengan berhenti sebentar, agar tidak bercampur baur antara ayat dan doa.
Begitulah sedikit mengenai Syaikh Abdul Ghani al-Jarumi dan risalah Yaasin Fadhilah beliau. Bagi sesiapa yang hendak membaca Yaasin Fadhilah, bacalah, sesiapa yang tidak mahu, maka baca sahajalah Surah Yaasin atau Yaasin Tunggal, jangan amal Yaasin Tinggal udah le. Mudah – mudahan jadi bermanfaat, setidak – tidaknya kita tidak mudah menyalahkan amalan Yaasin Fadhilah, amalan sebahagian ulama terdahulu, walaupun kita sendiri mungkin keberatan untuk mengamalkannya……lana a’maaluna wa lakum a’maalukum.
Komen Buya Yahya Tentang Yaasin Fadhilah
Fatwa Kedah Tentang Buku “Yaasin Fadhilah”
keluaran Sayyid Muhammad al-‘Aydrus, Jakarta.
Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.