AMALAN

Wirid Mudah


Di antara amalan yang dituntut adalah berwirid selepas shalat fardhu. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah meninggalkan kepada kita berbagai macam bentuk zikir untuk diwiridkan selepas shalat fardhu. Ada yang panjang dan ada yang pendek, dan yang termasyhurnya bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebanyak 33 kali, sebagaimana merata diamalkan di nusantara. Selain dari jumlah bilangan tersebut ada juga yang lebih ringan, agar mereka yang disibukkan dengan urusannya masih dapat melakukannya. Amalan ini walaupun mudah dan ringkas, namun mempunyai kelebihan tersendiri bagi sesiapa yang mengamalkannya dengan dawam dan istiqamah. Amalannya, (i) setiap selepas shalat fardhu, bertasbih 10 kali, bertahmid 10 kali dan bertakbir 10 kali; DAN (ii) sebelum tidur, bertasbih 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 34 kali. Dua wirid ini amalkanlah dengan istiqamah, telah diajar dan dianjurkan oleh baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam sabdaan yang shahih.

Imam at-Tirmidzi dalam Jami` meriwayatkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidina `Abdullah bin Amr radhiyaAllahu `anhuma bahawa Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: “Dua perkara yang tidaklah ia dilakukan oleh seseorang muslim (dengan istiqamah), kecuali dia akan masuk syurga. Ketahuilah bahawa kedua perkara ini mudah, namun yang mampu mengamalkannya (secara mudawamah / berterusan) hanya sedikit. (Yang pertama) bertasbih mensucikan Allah setiap selepas shalat (fardhu) 10 kali, bertahmid 10 kali dan bertakbir 10 kali.” (Sayyidina `Abdullah) berkata: “Lalu aku melihat Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam menghitungnya (yakni jumlah zikir tersebut) dengan tangan baginda, dan bersabda: “Maka yang sedemikian adalah 150 sebutan di lidah yang menghasilkan 1500 pahala di atas timbangan”. (Kedua) apabila engkau hendak tidur, bacalah tasbih, tahmid dan takbir (yang jumlah keseluruhannya) 100 kali, (yakni tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali, sebagaimana dalam riwayat lain seperti riwayat Imam Abu Daud). Maka yang sedemikian adalah 100 sebutan di lidah dan 1000 pahala di atas timbangan. Maka siapa daripada kamu yang melakukan 2500 kesalahan sehari semalam?” (Yakni,isyarat daripada Junjungan bahawa ganjaran 2500 pahala tersebut akan menjadi kaffarah bagi 2500 kesalahan yang dilakukan seseorang). Para sahabat berkata: “Jika begitu besar ganjarannya, kenapa pula kami tidak mengamalkannya?” Junjungan bersabda: “Seseorang daripada kamu akan didatangi oleh syaitan ketika dia shalat dan dia akan membisik: “Ingatlah kepada begian begian,” (yakni urusan – urusan lain) sehingga selesai shalatnya dan barangkali dia tidak melakukannya, (yakni syaitan akan menyibukkan kita ingatan kepada urusan – urusan lain yang belum beres sehingga kita tergesa – gesa untuk menyelesaikan shalat dan segera angkat punggung tanpa melakukan zikir dan doa kerana bergegas untuk mengerjakan urusan – urusan tersebut.) Dan syaitan datang ketika kamu di atas katilmu dan mencampakkan ngantuk kepadamu sehingga kamu tertidur tanpa sempat melakukan amalan tersebut. (Yakni, Junjungan memberikan gambaran bagaimana amalan yang mudah tersebut hanya sedikit yang sanggup istiqamah mengamalkannya.) (Imam at-Tirmidzi) menyatakan bahawa hadis ini Hasan Shahih.

Selain Imam at-Tirmidzi, beberapa ahli hadis juga meriwayatkannya dengan lafaz yang hampir sama, antaranya Imam Ahmad dan Imam Abu Daud. In sya Allah, dengan rahmatNya, mudah – mudahan amalan yang ringkas ini menjadi sebab untuk mengkaffarahkan dosa kesalahan kita dan menjadikan akhir usia kita husnul khatimah yang melayakkan kita menjadi penghuni syurga. 


Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.


Comments

Paling Populer

To Top