Katakanlah ulama sepakat dengan penilaian bahawa riwayat tersebut dusta, namun tidak bererti ungkapan yang indah itu atau shighah shalawat tersebut mesti ditolak dan haram untuk dibaca atau diamalkan. Selagimana sesuatu lafaz itu tidak menyalahi akidah dan ajaran Islam, maka tidaklah menjadi masalah untuk dibaca atau diamalkan, dengan syarat jangan disabitkan atau disandarkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai satu sabdaan baginda. Maka dari itu, sebahagian ulama menganggap baik dan elok susunan ungkapan yang ada dalam riwayat tersebut dan mereka menjadikannya sebagai amalan mereka. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah telah memuatkannya dalam Sa`aadatud Daarain pada halaman 246 – 246, iaitu Shalawat ke-13, Shalawat `Abdullah ibn `Abbas radhiyaAllahu `anhuma. Syaikh Yusuf tidak menukilkan segala kelebihan membaca shalawat tersebut 10 kali pada malam Jumaat sebagaimana dalam riwayat yang makdzub tadi. Beliau hanya memuatkan shighah shalawat tersebut sahaja dan menyatakan bahawa ianya diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madini daripada Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma.
Di Nusantara, tidak kurang ramainya tok – tok guru dan ustaz – ustaz yang mengamalkan shalawat ini sebagai wirid mereka, samada harian atau mingguan. Mereka juga memperturunkan amalan ini kepada murid – murid mereka dan juga kepada masyarakat awam. KH Ahmad Qusyairi bin Shiddiq rahimahullah telah menjadikan shighah Shalawat “Ibnu Abbas” ini sebagai shalawat terakhir dan sebagai penutup bagi 80 shalawat yang beliau himpun dalam kitab wirid shalawat beliau yang berjodol al-Waasilatur Harriyyah yang masyhur di kalangan para kiyai dan santri. Bahkan ramai yang mewiridkannya sebagai wirid shalawat tambahan sebagai pelengkap kepada Dalailul Khairat.
KH Husein Qadri rahimahullah pula memuatkan shalawat ini di awal kitab beliau Senjata Mukmin iaitu pada halaman 3 penerangan mengenai Hizibun Nashri wal Fathi, di mana jika pada malam Jumaat pembacaan hizib ini dimulakan dengan membaca 7 jenis shalawat dan shalawat yang pertama adalah Shalawat “Ibnu `Abbas” yang dibaca 10 kali. Lain pula halnya dengan Habib `Idrus bin `Abdullah al-Habsyi Muar Johor rahimahullah. Beliau meletakkan shalawat ini, dengan sedikit perbezaan kalimah, di hujung Ratibul Haddad sebagai zikir tambahan untuk dibaca 10 kali pada malam Jumaat. Ini beliau catat pada halaman 22 risalah beliau yang berjodol al-Fawaaidul Abadiyyah, yang mana risalah ini telah disemak dan ditashih oleh al-`Allaamah al-Fadhil Tuan Haji Hasan, Mufti Melaka dan diterjemah oleh al-Fadhil Tuan Syaikh `Abdullah BaSmeih.
Akhirul kalam, KH Fathullah Harun rahimahullah menukil shalawat ini dalam risalah asas karangan beliau yang berjodol Panduan Ibadah Fardhu `Ain yang faqir pelajari sejak dini. Pada halaman 46, beliau rahimahullah menulis sebagai berikut:- Satu lagi shalawat yang sangat besar faedahnya jika dibaca pada tiap – tiap petang atau malam, teristimewa pada tiap – tiap malam Jumaat sepuluh kali: “Allahumma Ya Daa-imal Fadhli `alal bariyyah, Ya Baasithal Yadayni bil `athiyyah, Ya Shaahibal Mawaahibis saniyyah, shalli `ala Sayyidina Muhammadin Khairil Waraa bis sajiyyah, wagh firlanaa, Ya Dzal `Ulaa fi haadzihil `asyiyah”, ertinya: “Ya Allah, Ya Tuhan yang berkekalan limpah kurnianya atas sekalian makhluk; Ya Tuhan yang sentiasa terbuka luas kurniaNya dengan pemberian; Ya Tuhan yang mempunyai pengurniaan – pengurniaan yang maha tinggi; Limpahkanlah rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, sebaik – baik makhluk dengan sebab keluhuran perangainya; Dan ampunilah dosa kami pada petang ini, Wahai Tuhan yang mempunyai ketinggian.”
Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.