Telah berkata Syaikhul Islam Sirajuddin al-Bulqini: Syaitan itu umpama anjing bagi orang mukmin. Ia senantiasa mengintai – ngintai kesempatan untuk menerpa hati sanubarinya. Selagi mana hati si mukmin tadi sibuk dengan mengingati Allah (dzikrullah), maka si syaitan akan menjauhkan dirinya. Tatkala mana hati tadi alpa dan lalai daripada mengingati Allah, syaitan akan menerkam hatinya dengan lahap lalu mengotorinya. Apabila engkau terkena najis anjing (yakni najis mughallazah), untuk mensucikannya engkau perlu membasuh 7 kali. Sayyidul Istighfar itu mempunyai 7 kalimah (yakni pengertian maknanya), maka apabila seseorang mukmin membacanya bersihlah hatinya daripada jilatan syaitan tersebut. Ketika anak beliau, Syaikh Jalaluddin, mendengar perkataan ayahandanya, beliau pun bersyair:
Tika syaitan menerpa hatimu yang alpa;
Lalu si durjana menjilat sekotor – kotornya;
Bersegeralah engkau sucikan dia;
Berpandukan ajaran sunnah sebaik – baik riwayatnya;
Tujuh rangkaian kalimah daripada Sebaik – baik Pemberi Ingatan adanya;
Mentauhidkan Tuhan dan bahawasanya kita hambaNya;
Atas perjanjian patuh mentaati, tiada kita langgar, tidak pula mengubahnya;
Demikian perlindungan dari kejahatan perbuatanmu mohon akan Dia;
Lalu akuilah segala nikmat yang banyak kepadamu dikurniakanNya;
Juga akuilah segala dosa kesalahanmu terhadapNya;
Seraya merendah diri bermunajat kepadaNya;
Katakanlah: Wahai Tuhanku maafkan dosa kesalahanku ampunilah ia;
Ketika itu, dengan taubatmu, engkau mencampak debu ke hidungnya;
Maka itulah sebenar – benar penghinaan baginya;
Dan bagimu satu penyucian adanya.
Yang dimaksudkan 7 rangkaian kalimah yang terkandung dalam Sayyidul Istighfar adalah intipati yang terkandung dalam Sayyidul Istighfar ada 7 sebagaimana berikut:- (i) Pengakuan rububiyyah dan uluhiyyah hanya bagi Allah; (ii) Pengakuan bahawa kita adalah hamba yang dicipta Allah; (iii) Pengakuan bahawa kita akan tunduk dan patuh atas segala hukum – hakam yang ditetapkan Allah semampu – mampunya; (iv) Kita memohon perlindungan Allah dari segala kesalahan yang telah kita lakukan (v) Pengiktirafan kita bahawa segala nikmat yang telah kita perolehi adalah anugerah kurniaan Allah (vi) Pengakuan atas segala dosa kesalahan yang telah kita lakukan (vii) Permohonan keampunan daripada Allah kerana hanya Dialah berhak mengampunkan segala dosa.
Maka, hendaklah kita sentiasa bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah yang Maha Penerima Taubat. Amalkanlah Sayyidul Istighfar ini dengan tulus ikhlas dan penuh penghayatan. Mudah – mudahan segala dosa kesalahan kita diampuniNya…..Allahumma aamiin.
Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.