Pagi ini (sewaktu saya mula menulis entri ini), hujan turun membasahi bumi Pulau Pinang. Suasana sejuk dan nyaman dengan suhu 25℃. Alhamdulillah.
Pagi semalam (Ahad, 30 Julai 2023), cuaca sesuai untuk aktiviti rekreasi. Kalau ikutkan hati saya yang merindui suasana hutan, memang nak ke Bukit Juru (antara lokasi pendakian yang agak dekat dengan rumah). Tapi kenangkan Encik Suami yang dah beberapa hari balik lewat dek tuntutan kerja di pejabat dan nak bekerja di luar kawasan pada hari ini, maka kita pilih saja aktiviti yang lebih santai. Tak terlalu penat, tapi masih mencapai tujuan – bersenam dan menikmati keindahan alam.
Kami ke kawasan rekreasi di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam. Dah beberapa entri saya catatkan berkenaan tempat ini, jadinya kali ni saya sekadar berkongsi foto alam dan foto kenangan.
Kiri tasik empangan, kanan laluan atau kawasan untuk rekreasi. Oleh kerana tempat ini tak ada pokok peneduh, memang terasa panas kalau kita datang lewat.
Kami datang hampir pukul 9 pagi, kira lewatlah. Orang ramai dah mula meninggalkan kawasan ini. Sisi bagusnya – suasana lebih tenang, lebih mudah bagi saya menikmati indah alam dan memotret foto hidupan alam yang ada.
Memerhati riak air dipermukaan tasik yang bergerak perlahan di sini menjadi satu terapi mata dan jiwa buat saya.
Paling teruja, bila pandangan mata dapat menangkap gerakan ikan di gigi air. Sebelum ni saya cuma nampak ikan berwarna kemerahan, kali ini nampak ikan berwarna hitam dengan corak seakan berbintik di badannya. Entah ikan apa kami tak kenal, Encik Suami kata mungkin juga ikan toman iaitu spesis ikan berbadan panjang yang biasa dijumpai di perairan air tawar.
Kumbang dengan sayap cantik ini pun jadi ‘sasaran’ saya. Tak mudah jugak nak memotret kumbang yang asyik terbang bila didekati, tapi saya pujuk suruh duduk diam sekejap je untuk berfoto. Maka, inilah hasilnya 😄
Rama-rama cantik dengan sayap warna biru ini pula saya temui sewaktu ia sedang terbang. Saya minta dia berhenti sekejap supaya saya boleh memotret fotonya. Terima kasih sudi berfoto ☺️
Fotografi bayang-bayang, bukti cuaca panas terik di sini. Kami pakai topi fabrik anti-UV sebagai pelindung cahaya matahari yang dibeli di Decathlon. Alhamdulillah memang membantu, kepala tak rasa terik matahari.
Rekod aktiviti riadah saya – bukan joging, cuma berjalan. Kadang jalan laju, kadang jalan santai dan kadang berhenti memerhati/memotret itu ini. Tak mampu habiskan laluan hujung kanan ke hujung kiri tasik, dapat 5 km gini pun dah cukup penat kaki tapi puas hati. Alhamdulillah!
.
Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.