Buku

Pengarang Kitab "Perukunan"


Di antara kitab yang masyhur dalam masyarakat kita adalah kitab yang biasa dipanggil sebagai “Perukunan” atau “Perukunan Melayu” atau “Perukunan Besar” atau dalam lahjah Banjarnya disebut “Parukunan”. Menurut almarhum TG Haji Wan Mohd Shaghir, hampir setiap rumah orang kita menyimpan kitab yang berkat ini. Ini ada benarnya kerana kebiasaan orang – orang tua kita dahulu menyebut dan merujuk kepada kitab “Perukunan” sebagai panduan mereka beramal. Sungguh pun begitu, mungkin ramai yang tidak tahu siapa penyusun kitab ini.

Tuan Guru Haji Abdur Rasyid bin Ramli al-Banjari al-Azhari yang dikenali sebagai Muallim Wahid @ Guru Utama yang dilahirkan pada tahun 1884M di Desa Pekapuran, Amuntai, Kalimantan Selatan, Pulau Borneo, satu pulau dengan Malaysia Timur. Beliau rahimahullah inilah yang menyusun dan menerbitkan kitab “Parukunan” dengan tulisan Jawi berbahasa Melayu. TG Haji Abdur Rasyid menerima asuhan agama sejak kecil lagi dan berkesempatan untuk berguru dengan beberapa ulama kenamaan Banjar, antaranya TG Hj Umar Awang Padang Kelua,TG Ahmad Sungai Banar, TG Jaferi bin Umar Teluk Betung dan TG Abdur Rahman Pasungkan Nagara. Dalam tahun 1908, beliau berangkat ke Mesir untuk menyambung pelajarannya di Universiti al-Azhar. Beliau tercatat sebagai anak Banjar /  Kalimantan yang pertama belajar di al-Azhar dan berjaya meraih Syahadah `Alamiyyah lil Ghuraba` dari sana. Untuk menampung kos sara hidup selama di Mesir, beliau bekerja di restoran dan ini tidak menjadi penghalang untuk beliau menimba ilmu secara formal di universiti dan informal di ruwaq Masjid al-Azhar dengan para masyaikh yang ada. Ketika di Kaherah inilah beliau menulis kitab “Perukunan”. Setelah kira – kira 10 tahun di Mesir, barulah beliau pulang ke Banjar, sebelumnya beliau singgah dahulu ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji dan meneguk ilmu para ulama Haramain. Di Mekah, beliau sempat menimba ilmu daripada Tuan Guru Syaikh Muhammad Khalid yang mengajar di Babus Salam, Masjidil Haram. Syaikh Muhammad Khalid rahimahullah adalah ulama asal Tangga Ulin, Amuntai dan telah lama mengajar dalam Masjidil Haram.

Sesampainya TG Haji Abdur Rasyid ke tanahair, beliau terus melibatkan diri dalam dakwah dan penyebaran ilmu pengetahuan. Beliau mulanya membuka halaqah ilmu di rumah mertuanya, lalu kemudian berpindah ke langgar (surau) dan akhirnya beliau membuka sebuah sekolah madrasah formal yang dinamakan Arabische School (Sekolah Arab). Setelah sekolah ini diserahkan pengurusannya kepada TG Juhri Sulaiman, namanya beliau tukar kepada al-Madrasatur Rasyidiah, sempena nama pendirinya TG Haji Abdur Rasyid untuk mengenang jasa beliau. Ketika era Ustaz M. Arief Lubis, sekolah ini dinamakan sebagai Ma’had Rasyidiyah dan pelajaran – pelajaran ilmu pengetahuan umum mula dimasukkan dalam silibusnya. Pada zaman KH Idham Khalid yang memimpin, sekolah ini ditukar nama kepada Normal Islam, kemudian diganti kembali sebagai Rasyidiyah Khalidiyyah atau singkatannya Rakha untuk mengenang jasa pendiri awalnya TG Haji Abdur Rasyid dan guru beliau TG Haji Muhammad Khalid. Sekolah ini, sejak dari Arabische School lagi telah melahirkan ramai ulama, pendakwah dan lain – lain insan yang berbakti kepada agama, nusa dan bangsa. Di antara murid yang sempat belajar di Arabicshe School terus dengan TG Haji Abdur Rasyid adalah almarhum Tan Sri Abdul Jalil Hasan yang merupakan alumni Arabische School tahun 1928.

Tuan Guru Haji Abdul Rasyid menghembuskan nafas beliau yang terakhir pada  19 Syawwa1 1353H bersamaan 14 Februari 1934. Beliau dimakamkan di desa kelahirannya, Desa Pekapuran, Amuntai. Selain kitab “Perukunan”, beliau juga mempunyai karya lain, antaranya kisah Isra` Mi’raj yang ditulis dalam bahasa Arab dengan jodol Sirajul Wahhaj yang dikarang pada tahun 1325H. Semoga hujan rahmatnya Allah sentiasa bercucuran atas roh beliau dan ditempatkan beliau bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam Jannatul Firdaws, Allahumma aamiin …. lahu al-Fatihah.


Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.


Comments

Paling Populer

To Top