[Catatan Trip ke Bangkok – Hari Kedua | Khamis, 29 Jun 2023]
Waktu solat Subuh di Bangkok seawal pukul 4.34 pagi. Pukul 4 pagi saya dah kejutkan Encik Suami supaya bersiap untuk berjemaah Subuh di Masjid Darul Aman. Masjidnya dekat sangat dan berada di lorong yang sama dengan hotel (tak payah lintas jalan besar pun), memang mudah nak pergi. Sambil tu bolehlah tanya orang, masjid di sini mula solat sunat hari raya pukul berapa. Dah tau masa yang tepat kan lebih mudah.
Balik dari masjid, Encik Suami menyampaikan info – masjid di sini mula solat pada pukul 9 pagi. Info diperolehi daripada imam masjid yang boleh berbahasa Melayu (berbunyi loghat Kelantan).
TAKBIR RAYA
Kira-kira pukul 6.40 pagi, pihak masjid membuat satu pengumuman melalui pembesar suara. Pengumuman dibuat tentulah dalam bahasa Thai, tapi saya fahamlah ‘Assalamualaikum…Sawadikap…Aidiladha…Kap kun kap’. Pihak masjid beritahu pasal waktu solat sunat Aidiladha la tu kan 😁
Sebenarnya, itulah kali pertama saya mendengar bunyi dari corong pembesar suara di sini. Tiada alunan azan menerusi pembesar suara bagi solat fardhu (berdasarkan pengalaman saya selama beberapa hari di sini). Tapi nampaknya, ada kelonggaran bagi solat sunat hari raya dan solat Jumaat (azan, khutbah & bacaan solat kedengaran menerusi pembesar suara). Alhamdulillah.
Seperkara lagi, sistem pembesar suaranya bagus kerana diletak pada tempat tertentu (antaranya – ada sebuah pembesar suara berhampiran bangunan hotel kami menginap). Biasanya kalau di tempat kita, pembesar suara hanya dipasang di luar masjid/surau. Jadinya mereka yang tinggal berhampiran akan dengar lebih kuat dan mungkin rasa terganggu, manakala yang tinggal sedikit jauh cuma boleh dengar sayup-sayup je alunan azan.
Berbalik cerita pagi hari raya Aidiladha – sejurus selepas pengumuman, kedengaran alunan takbir raya menerusi corong pembesar suara. Saya buka sliding door bilik untuk lebih menghayati suasana pagi hari raya di sini.
Video berdurasi 22 saat. Gema takbir raya berlatarkan pemandangan bangunan di sekitar hotel penginapan kami. Tenang rasanya bila mendengar suara takbir. Alunan takbir berterusan sehinggalah tepat pukul 9 pagi, iaitu waktu bermulanya solat sunat hari raya.
MASJID DARUL AMAN
Kami bersarapan ringkas di pantri hotel sebelum bergerak ke masjid. Minuman kopi dan roti bakar disapu jem & mentega cukup mengalas perut bagi memulakan hari.
Pukul 8.30 pagi kami berjalan menuju ke masjid. Sambil berjalan, saya perhatikan orang-orang membawa bungkusan makanan atau dulang makanan menuju ke masjid. Makanan itu kemudian diserahkan kepada orang masjid yang sedia menunggu di suatu sudut hadapan masjid. Saya fikir, mungkin makanan sedekah untuk jamuan selepas solat sunat hari raya.
Selain itu, kehidupan harian penduduk di sini berjalan seperti biasa. Ramai yang sedang berjalan kaki atau bermotosikal keluar dari lorong, mungkin pergi kerja. Komuniti Muslim hanyalah minoriti di sini. Tiada cuti umum bagi hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Suasana agak meriah di hadapan masjid. Ramai juga yang tak melepaskan peluang berfoto di depan masjid. Saya pula hanya memotret dari seberang jalan. Susah nak dapatkan foto dengan sudut yang diingini sebab lorong ni kecil dan motosikal dah memenuhi bahu jalan. Sekadarnya sajalah, asalkan ada foto sebagai kenangan.
Laluan masuk ke bahagian dalam masjid. Mulanya saya hairan juga kenapa ada orang duduk berderet di kanan dan kiri laluan masuk. Rupanya mereka meminta sedekah daripada para jemaah sewaktu lepas solat.
Dalam masjid.
Mimbar masjid. Foto oleh Encik Suami, dirakam sewaktu nak menunaikan solat Subuh. Itu yang lapang tak ada orang 😀
Sekitar pukul 9.50 pagi, jemaah bersalaman selepas solat.
Selesai solat raya, seterusnya kami nak cari makanan berat sebelum meneruskan aktiviti jalan-jalan. Ada kisah lucu, segan tetapi penuh rasa syukur berkaitan hidangan pagi raya kami di Bangkok. Sampai sekarang bila terkenang kisah tersebut, saya masih rasa segan sangat 😅. InsyaAllah saya catatkan dalam entri seterusnya.
.
Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.