Pendakian

Mendaki Bukit Juru Melalui Trek ‘646 Anak Tangga’


[Catatan Hari Ahad, 3 September 2023]
Ini merupakan kali ke-3 saya dan Encik Suami melakukan aktiviti pendakian ke Bukit Juru. Kali terakhir kami ke sini sekitar bulan Mei lalu. Tetapi kali ini kami akan mencuba trek yang belum pernah kami lalui.
Terdapat dua pilihan tempat permulaan pendakian (trailhead) untuk kita mendaki Bukit Juru. Kalau sebelum ini kami naik ikut trek yang dikenali sebagai ‘1800 Steps Bukit Juru’, tetapi kali ini kami cuba naik ikut trek ‘646 Anak Tangga’. Carian Google Maps – Bukit Juru Hiking.
Trailhead ini terletak berhampiran Warung Pak Su Mee Udang, boleh parkir kenderaan di kawasan lapang berhadapan warung. Semasa kami tiba, terdapat sebuah kenderaan saja di kawasan parkir. Timbul rasa cuak dalam hati saya, sebabnya setiap kali kami ikut trailhead satu lagi tu sentiasa banyak kenderaan para pendaki. Kalau tak banyak kenderaan itu maksudnya tak ramai yang menggunakan trek yang bakal kami lalui ini 😬
Apa pun, jom kita teruskan perjalanan!
Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
8.27 pagi
Perjalanan menuju ke kaki Bukit Juru bermula di sini. Papan tanda ‘Jom Kita Pi Naik Bukit Juru – 646 Anak Tangga’ jelas kelihatan dari jalan besar, sederet dengan warung Mi Udang tadi. Kami ikut saja laluan jalan tar ini untuk ke kaki bukit. Rekod aktiviti pendakian saya dengan menggunakan smart watch bermula dan berakhir di sini.
Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
8.28 pagi
Seterusnya kami tiba di laluan yang dipenuhi dengan rimbunan pokok buluh sebelum melalui kawasan semak belukar. 

Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
8.30 pagi
Kami berjalan sehingga tiba di kawasan yang tak nampak mana satu laluan, semak samun meninggi. Terkejut jugak saya tengok keadaan begini 😬
Di balik rimbunan semak tu nampaklah papan tanda warna kuning dan anak tangga. Di situlah permulaan trek pendakian. Langkah kaki diteruskan dengan diiringi lafaz doa memohon perlindungan Allah. 
Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
8.31 pagi
Papan tanda info berkenaan Bukit Juru.

Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
Trek tangga konkrit menuju ke puncak bukit. Laluan di sini agak kecil dengan rimbunan pokok di kanan dan kiri tangga menjadikan persekitaran agak suram.
Suram ke seram? Jujurnya, terselit sedikit rasa seram melihat keadaan trek yang nampak macam terbiar seperti dah lama tak dilalui orang. Pun begitu, bunyi kicauan burung bernyanyi indah membuatkan hati saya rasa tenteram dan teruja untuk terus melangkah. Paling penting, penglihatan dan pendengaran kita harus peka pada persekitaran. Juga jangan riuh sangat bila berbual dan jangan senyap sangat bila berada di tempat begini. Sesekali saya bersuara, “Tumpang laluuu…ke tepi semua ya…”. Bimbang jugak kot jalan berdua senyap je, tiba-tiba muncul haiwan di laluan kami 😅

Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
8.43 pagi
Di sepanjang perjalanan kita akan jumpa tanda kiraan anak tangga. Juga pokok-pokok hutan dengan tanda nama, bolehlah belajar nama-nama pokok hutan.
Semasa di pertengahan pendakian, kami berselisih dengan seorang lelaki yang sedang menuruni bukit. Alhamdulillah, ada jugak orang yang dah melalui trek ini pada hari ini. Saya rasa lega. Lelaki tersebut memberi salam kepada kami dan memaklumkan terdapat dua tempat dengan pokok rebah merintangi trek, perlu merangkak untuk melaluinya. Alamak!
Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
9.05 pagi
Kami tiba di salah satu tempat yang dimaksudnya oleh lelaki tadi. Pokok-pokok kecil rebah merintangi trek tangga. Syukur jugaklah dah tahu lebih awal, taklah terkejut sangat kan. Kalau nak tengok macam mana rupa laluan bawah rimbunan pokok rebah ni, boleh tonton video di hujung entri.
Saya keluarkan sarung tangan dari beg, pakai sarung tangan di kedua belah tangan. Encik Suami tak ada sarung tangan, tapi dia tak kisah pun merangkak tak guna sarung tangan. Saya je rasa risau kot terpegang apa-apa. Uishh…jangan bayangkan yang bukan-bukan masa ni, perhatikan sekitar dan terus sajalah merangkak perlahan-lahan mendaki anak tangga.
Bukit Juru Trek 646 Anak Tangga
9.20 pagi
Alhamdulillah! Setelah kira-kira 50 minit pendakian dengan jarak 1 km, akhirnya kami selamat tiba di puncak Bukit Juru. Ada pendaki yang boleh naik dalam masa 30 minit saja, kami ambil masa lebih sebab kurang stamina dan kerap berhenti dek tabiat saya yang gemar memotret itu ini 😄
Dari jauh kedengaran suara riuh orang berborak. Sekumpulan pendaki sedang berehat di sini. Saya fikir mereka naik ikut trailhead satu lagi sebab tak lama tu nampak beberapa orang rakan mereka baru tiba dari arah laluan trailhead tersebut.
Kami tak berhenti rehat di sini. Saya ajak Encik Suami berjalan-jalan dalam hutan dengan melalui trek tersedia untuk menikmati keindahan alam semula jadi.

Bukit Juru, Pulau Pinang
Di kawasan yang penuh dengan batu besar.

Bukit Juru, Pulau Pinang
Saya suka tempat ni, Masya Allah cantik pokok-pokok di sini.

Bukit Juru, Pulau Pinang
10 pagi
Selepas kira-kira 700 meter berjalan merentasi hutan, kami berpatah balik ke puncak bukit tadi untuk berehat. Kami makan tuna cheese sandwich dan minuman sejuk yang dibekal sebagai alas perut. Selepas berehat dan berfoto kenangan, kami kembali meneruskan perjalanan menuruni bukit.

Bukit Juru, Pulau Pinang
Pemandangan dari puncak Bukit Juru.

Bukit Juru, Pulau Pinang
Data dari Galaxy Watch.
Mula – 8.27 pagi, tamat – 10.46 pagi.
Secara keseluruhannya, menurut pendapat saya pendakian ke Bukit Juru melalui trailhead ‘646 Anak Tangga’ ini tidaklah terlalu susah sebab kita cuma perlu mendaki tangga konkrit tersedia. Treknya juga lebih pendek berbanding trek di trailhead ‘1800 Steps Bukit Juru’.
Tetapi cabarannya, trek bertangga di sini agak curam dan berliku. Mungkin sebab itu tak ramai yang suka lalu trek di sini, menjadikan laluan di sini agak terbiar dan dipenuhi semak samun. Sepanjang kami turun dan naik bukit, kami cuma berselisih dengan seorang pendaki saja. Bila tiba semula di kawasan parkir, cuma kenderaan kami saja yang ada di situ.
Seperkara lagi, bersedia juga dengan nyamuk yang banyak sewaktu mendaki. Besar saiz nyamuknya, terganggu jugaklah saya dengan bunyi dengung nyamuk yang cuba mendekati saya. Mungkin sebab bahagian bawah ni dipenuhi semak, habitat yang sesuai untuk nyamuk. Kalau di bahagian atas tak jumpa nyamuk.
Video berdurasi 1:29 minit sekitar pendakian kali ini.
.

Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.


Comments

Paling Populer

To Top