[Catatan hari Sabtu, 17 Ogos 2024]
Kupi Kahfi terletak di Bukit Tau Adventure Park, Kampung Padang Lati, Beseri, Kangar, Perlis. Jaraknya kira-kira 14 km dari rumah saya. Tak begitu jauh, tapi baru kali ini saya dan Encik Suami berkesempatan ke lokasi yang menawarkan suasana mengopi di dalam sebuah gua.
Bukit Pau – di sinilah terletaknya kafe Kupi Kahfi. Kahfi (bahasa Arab) bermaksud gua. Kami tiba di sini menghampiri pukul 6 petang.
Pandangan keseluruhan luar gua.
Terdapat dua buah gerai menjual makanan di hadapan gua. Antara pilihan makanan yang ditawarkan – set ramen, jagung manis, kerabu maggi dan pilihan roti bakar. Pengunjung boleh membuat pesanan makanan di sini dan terus buat bayaran, dah siap nanti akan dihantar ke meja kita.
Gerai kopi pula terletak betul-betul di depan pintu gua (sila klik foto untuk paparan lebih jelas). Di bahagian depan ini juga terdapat sebuah buaian. Ramai yang cuba berbuai dan merakam foto memori di sini.
Terdapat pilihan tempat duduk di luar pada kedudukan sedikit jauh dari pintu gua.
Beginilah suasana kafe di dalam gua. Boleh pilih nak duduk di hadapan/pintu gua atau duduk betul-betul di dalam gua. Kami memilih tempat duduk di dalam gua bagi merasai sendiri pengalaman mengopi dalam gua.
Suasana tempat duduk di dalam gua. Foto dirakam dari sudut dalam gua. Walaupun tanpa kipas, ruangan dalam gua ini memang terasa nyaman berangin. Ini kerana terdapat aliran pengudaraan yang baik dan berangin dari lima buah pintu gua di sini. Berkenaan bau najis kelawar, saya tak mengesan sebarang bau yang tak sedap di ruangan ini.
Terdapat juga pilihan tempat duduk di bahagian lain sudut gua. Tiada pengunjung duduk di sini. Saya dapati bau najis kelawar agak kuat di ruangan ini.
Salah satu dari lima pintu gua yang terdapat di sini. Maha hebat Allah dalam penciptaan-Nya, setiap gua yang pernah saya kunjungi mempunyai keunikan tersendiri. Nampak gua semua macam sama je, tetapi sebenarnya berbeza.
Hiasan di dinding gua. Boleh baca ayat bertulisan Jawi di atas? 😁
Makanan pilihan kami – roti titab RM5.50 dan kerabu maggi RM8. Minuman kami beli satu je – caramel macchiato RM10.
Jika sebelum ini saya masuk gua kerana melakukan aktiviti eksplorasi, kali ini saya masuk gua untuk mengopi 😄. Sebenarnya bukanlah nak ngopi atau makan-makan, tetapi lebih kepada nak merasai sendiri suasana kafe dalam gua. Memang satu pengalaman yang unik!
Bagi kalian yang tak pernah masuk gua atau fobia ruangan sempit seperti gua, mungkin boleh cuba ke kafe Kupi Kahfi. Ini kerana keadaan gua di sini tidaklah sempit dan gelap. Bolehlah bersantai mengopi sambil memerhati persekitaran gua. Tetapi kalau jenis geli/takut labah-labah (tempat duduk saya berhampiran dengan sarang labah-labah di dinding gua), saya sarankan pilihlah tempat duduk di luar gua.
Kupi Kahfi tidak menawarkan pilihan makanan yang pelbagai bagi menjaga kebersihan persekitaran dan di dalam gua. Jadi kalau kalian datang sebab nak makan beria, ini bukan tempatnya ya. Kupi Kahfi untuk kita menikmati keindahan gua batu kapur dengan cara santai sambil menikmati hidangan ringan.
***********************************************
KUPI KAHFI
Bukit Tau, Kampung Padang Lati,
Mukim Beseri, Kangar,
Perlis.
Google Maps | Kupi Kahfi @ Bukit Tau Adventure Park
Waktu operasi :
Isnin – Khamis | 10.30 pagi – 7 malam
Sabtu – Ahad | 8.30 pagi – 7 malam
Cuti | Jumaat
Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.