Rekreasi

Eksplorasi Hutan TNB | Laluan Teluk Pandan Besar (Bhg. 2)


Catatan Bahagian 1 DI SINI.
DATARAN BERBATU

Kami tiba di sebuah dataran berbatu yang agak luas kawasannya. Kalau tanpa sebarang papan tanda petunjuk arah, memang boleh sesat tak tahu ke mana nak dituju. Ketika ini juga cuaca panas, jadi memang terasa bahang apabila kita berada di kawasan lapang begini.
Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Berbeza dengan Encik Suami, saya mudah tertarik dengan hampir semua benda yang saya lihat di hutan termasuklah rupa bentuk batu. Perhatikan bentuk permukaan batuan di sini, nampak unik!
Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Permukaan batuan dengan struktur seperti kawah dan berpasir. Bentuk begini mungkin terhasil kesan hakisan angin dan hujan. Kalau orang belajar geologi, tentu boleh beri penjelasan lanjut bagaimana pembentukan struktur geologi ini terjadi.
Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Dari dataran berbatu tadi, kami memasuki laluan hutan seterusnya…
MENIKMATI KEINDAHAN HUTAN KERANGAS (HEATH FOREST)

Hutan kerangas? Hutan apa tu? Saya tak pasti sama ada pernah berada di hutan kerangas atau tidak. Saya jadi teruja nak menikmati suasana hutan kerangas.
Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Jom!

Hutan kerangas merupakan hutan dataran rendah yang tumbuh di atas tanah berasid tinggi, kering, berpasir dan suhu tinggi pada musim kemarau. Hutan ini memiliki ciri khas berupa kanopi yang rata dan rendah serta pohon-pohon yang lebih pendek dan kecil. 

Info ringkas hutan kerangas :
  • Hutan kerangas termasuk dalam jenis Hutan Hujan Tropika (Hutan Khatulistiwa) yang terdapat di kepulauan Borneo, Semenanjung Malaysia dan Sumatera.
  • Istilah kerangas berasal daripada bahasa Dayak Iban yang bermaksud tanah yang tanah gersang / tidak subur.
  • Mempunyai ciri-ciri khas – pasir putih dan tumbuhan yang lebih pendek dan kecil.
  • Hutan kerangas merupakan hutan paling luas di Taman Negara Bako meliputi kawasan tinggi dan berbukit.
Sumber rujukan dan bacaan lanjut di cikgusaberi.blogspot.com dan scribd.com
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Laluan hutan jenis berbatu dan berpasir, juga terdapat lopak air (kesan hujan lebat pagi tadi). Masa ni memang rasa berguna sungguh memakai kasut dengan ciri kalis air, pergerakan tetap lancar walaupun memijak lopak. Asal saja genangan air tak melepasi lidah kasut (tongue), kasut dapat kekal kering selesa dipakai.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Terdapat dua pemerhatian pada foto ini – jenis pokok yang tumbuh dan penanda laluan berwarna. Pokok yang tumbuh di sini bersaiz kecil dan rendah. Penanda laluan berwarna merah merujuk kepada laluan Lintang (Lintang trail), iaitu laluan hutan paling panjang di TNB sejauh 5.8 km sehala. Kami nak ke Teluk Pandan Besar (penanda laluan warna kuning), jadinya kena perhatikan penanda arah di persimpangan jalan jangan sampai terlepas atau tersilap masuk laluan.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Cantik bentuk dan warna periuk kera ni kan?
Periuk kera (pitcher plants / Nepenthes) merupakan antara tumbuhan yang banyak terdapat di hutan kerangas. Ada pelbagai saiz dan rupa bentuk. Ada periuk kera jenis tumbuh bergantungan dan ada yang tunbuh di lantai hutan.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Nak mengelak laluan berlopak dan panas matahari, saya keluar dari laluan tersedia dan berjalan di celahan pokok di tepi laluan. Apa yang menarik, lebih banyak tumbuhan hutan kerangas yang dapat saya perhatikan.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Spesis pokok Rhu/Ru (Dacrydium elatum), antara tumbuhan yang terdapat banyak di kawasan ini.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Daun cantik kemerahan dan tumbuhan unik seperti bintil gelembung.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Tiba di laluan dengan pelantar kayu. Laluannya bukan sentiasa landai seperti foto di atas, kadang-kala kita perlu mendaki atau menuruni anak tangga. Di laluan ini kami berselisih dengan ramai pengunjung, kami akan berhenti di tepi bagi memberi laluan kepada mereka yang berada dalam kumpulan lebih besar.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Antara spesis periuk kera yang ditemui. Jenis bergantungan, saiz kecil.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
1.59 tengah hari.
Kami tiba di satu persimpangan dan ada sebuah pondok rehat di sini. Ke kanan laluan menuju ke air terjun Tajor, pantai Teluk Tajor, pantai Teluk Limau dan tempat-tempat lain (sila klik foto untuk paparan lebih jelas). Menarik dan menggoda, tapi dengan keterbatasan masa dan kudrat maka saya simpan saja keinginan hati. Kami berhenti rehat seketika buat kali kedua di pondok tersedia. Kami minum air dan makan coklat penambah tenaga, kemudian menyambung langkah kaki menuju ke Teluk Pandan Besar.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Tiba di suatu tempat, kami dapat menyaksikan keindahan laut membiru terbentang di kiri laluan.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Memasuki laluan yang agak mencabar dengan akar, lopak air dan tanah berpasir lembut.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Aliran air jernih berwarna coklat kemerahan dan lumut hijau memenuhi bahagian tebing. Saya rasa tenang dan seronok dapat menikmati suasana di sini.
Air di hutan kerangas berwarna gelap begini (sama seperti air tanah gambut di kampung saya di negeri Johor) disebabkan kehadiran tanin (tannin) yang tinggi. Tanin adalah sejenis biomolekul polifenol yang dilepaskan oleh tumbuhan yang mereput.
(Sumber rujukan dan bacaan lanjut mengenai tanin di wikipedia)
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Akar berselirat, perlu berhati-hati melangkah supaya tak tersandung.
Keindahan hutan kerangas Taman Negara Bako
Periuk kera bersaiz besar yang ditemui di tepi laluan hutan.
MasyaAllah! Maha Hebat Allah menciptakan kepelbagaian alam semula jadi. Setiap satunya menyimpan rahsia alam dan mempunyai fungsi tersendiri. Walaupun hutan kerangas dianggap sebagai tanah tidak subur kerana kurang nutrien, namun ia merupakan habitat bagi flora dan fauna tertentu. Satu pengalaman menarik bagi saya dapat melakukan eksplorasi di hutan kerangas, hutan yang mempunyai ekosistem unik.
Catatan seterusnya iaitu bahagian akhir entri Laluan Teluk Pandan Besar – kami menyaksikan keindahan alam di Teluk Pandan Besar.
.

Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.


Comments

Paling Populer

To Top