Maka hendaklah kita banyak bershalawat ke atas Rasul Teragung, Junjungan Nabi Besar, Sayyidina wa Mawlana Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan apa jua shighah dan lafaznya, istimewa dalam bulan kelahiran baginda. Mulianya bulan Rabi`ul Awwal adalah kerana kelahiran Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kelahiran baginda mengangkat darjat bulan ini dan kelahiran baginda ini diumpamakan sebagai permulaan musim semi @ musim bunga, ketikamana bumi diindahkan dengan tumbuh, mekar dan semerbak harumnya bunga – bungaan. Mudah – mudahan taman – taman di hati kita turut mekar berbunga – bunga dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan dengan kehadiran bulan Rabi`ul Awwal.
….”Wahai tuan yang mulia, jikalau tuan mahu selamat pada dunia dan akhirat dan hendak jadi akan jumlah daripada orang yang muqarrabin, hendaklah tuan banyak akan shalawat atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pada waktu hendak berbuat apa – apa pekerjaan. Maka sekurang – kurangnya “Allahumma shalli `ala Sayyidina Muhammad, wa `ala aalihi wa shahbihi wa sallim.” Maka amalan ini sudah mujarrab bagi orang yang beramalannya. Dan setengah daripada awrad yang menjadi akan orang yang muqarrabin itu diamalkan shalawat Dala-ilul Khairat dan segala doa al-Hizbul A’dzam dan “Yaasiin” beserta doanya dan baca “al-Burdah” beserta doanya, maka sekalian itu sudah mujarrab.
