AMALAN

Shalawat Bilal Jumaat


Menjadi kebiasaan yang telah diadatkan di tempat faqir, bahkan satu negeri, ketika khatib duduk di antara dua khutbah, maka tok bilal akan melantunkan shalawat dan para jemaah mengaminkannya dengan suara lirih. Faqir percaya, di tempat – tempat lain seperti di Banjar juga begitu, manakala di sesetengah tempat seperti Selangor dan Johor, tok bilal membacakan doa yang diaminkan jemaah. Teks shalawat yang biasa dibaca ini, dengan sedikit perbezaan lafaz, juga mudah dijumpai dalam beberapa karya, antaranya Ushul al-`Ibadah karangan al-Haqir Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Aziz, Singapura, yang dicetak di Mathba`ah Muhammadi Bombay, di mana pada halaman 47 tertera sebagai berikut: “Ini shalawat yang dibaca ketika duduk imam antara dua khuthbah. Baca bilal.. Allahumma shalli wa sallim wa zid wa adim wa an`im wa tafadhdhal wa baarik…….”

Begitulah kebiasaan yang ada di tempat kami sebagaimana dijelaskan oleh ulama kami, Syaikh Daud bin Abdul Ghani as-Sarawaqi rahimahullah  dalam karangan beliau yang berjodol Pedoman Ibadah. Pada halaman 110, beliau menyatakan sebagai berikut:- Bila sudah habis khutbah yang pertama, lantas khatib duduk sebentar (duduk ini dinamakan duduk antara dua khutbah. Di negeri kita biasanya di waktu itu bilal ada membaca shalawat.) Beginilah `urufnya di tempat kami yang telah berjalan sekian lama adanya. Maka sewajarnya `uruf atau adat yang baik ini dilestari sebagai warisan kepada anak cucu kita di Nusantara ini.

Shalawat yang dibaca tidaklah tertentu lafaznya, mana – mana lafaz boleh, tapi kebiasaannya, lafaz atau shighah yang dibaca adalah yang dimulakan dengan lafaz: Allahumma shalli wa sallim, wa zid wa adim wa an`im, wa tafadhdhal wa baarik…. hingga akhir. Faqir kurang periksa nama yang diberikan kepada shalawat ini dan asal muasalnya. Cuma yang faqir dengar, sebahagian menamakannya sebagai Shalawat Taslim, ada juga yang menyebutnya sebagai Shalawat Dustur. Shighah – shighahnya pun ada sedikit perbezaan, ada yang ringkas dan ada yang mempunyai tambahan lafaz. Apa – apa pun, itu bukanlah isu kerana tidak ada ketentuan pada bacaan atau doa atau shalawat yang mesti dibaca ketika khatib duduk antara dua khutbah. 

Ulama kita memilih untuk membaca shalawat ketika itu, mungkin kerana fadhilat atau kelebihan shalawat itu teramat banyak. Antaranya, dengan hanya satu shalawat kita dibalas dengan 10 shalawat daripada Allah, mendapat shalawatnya para malaikat dan mendapat balasan shalawat daripada Rasulullah, diangkat 10 darjat, dihapuskan 10 dosa kesalahan dan berbagai – bagai lagi kelebihan, ganjaran dan anugerah. Selain daripada itu, ramai, bahkan boleh dikatakan jumhur, ulama yang berpendapat bahawa shalawat adalah satu amalan yang mudah diterima Allah, bahkan menurut mereka pasti diterima Allah ta`ala, betapa pun jua keadaan si pembacanya. Maka tidak hairan, jika ulama memilih shalawat untuk dibaca ketika itu, yakni di waktu yang berkat, di tempat yang berkat dan dalam himpunan yang berkat. 

Juga faqir temui bahawa saudara – saudara di beberapa negeri di Semenanjung Tanah Melayu, menjadikan shalawat ini untuk menyambut ketibaan pengantin, sehingga dinamakan sebagai Shalawat Pengantin. Hal ini juga dilakukan di beberapa tempat lagi seperti di Tanah Betawi. Ustaz Said bin Che Ros menulis dalam karangan beliau yang berjodol Fadilat Membaca Selawat pada halaman 56 sebagai berikut: Lafaz selawat ini biasanya digunakan (dibaca) oleh orang – orang Melayu terutama di kampung – kampung semasa menyambut ketibaan pengantin lelaki dalam sesuatu majlis perkahwinan. Walau bagaimanapun selawat ini boleh diamalkan pada bila – bila masa sahaja. 


Sebagai mengakhiri entri ini, faqir rasa bahawa mungkin juga hikmah shalawat ini jadi pilihan untuk dibaca ketika umat berkumpul menunaikan fardhu Jumaat yang diwajibkan berjemaah kerana di antara khasiat shalawat ini, menurut kata ulama, berdasarkan pengalaman dan tajribah, adalah ia menjadi sarana untuk memperolehi tambahan nikmat zahir dan batin, juga untuk mendatangkan ketenangan dan ketenteraman hati, bukan hanya bagi si pembaca, juga bagi keluarga, lingkungan masyarakat, bangsa dan negara. Maka diharap dengan keberkatan shalawat tersebut, Allah akan menjaga dan memelihara ketenteraman dan keharmonian semua rakyat dan negara, bahkan dunia. Juga tidak hairan pula, jika pasangan mempelai disambut dengan shalawat ini dengan harapan dianugerahkan mereka dengan rumahtangga yang aman damai, tenteram dan harmoni. Mudah – mudahan bermanfaat dan terus memperbanyakkan shalawat.
Shalawat Bacaan Bilal Masjid Bahagian Kuching.

Bacaan Shalawat Taslim Syaikh Abdul Karim Makki 

Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.


Comments

Paling Populer

To Top