isu semasa

Hukum Hari Ibu


Mari kita singkap makna sebenar Hari Ibu / Mother’s Day menurut Wikipedia : “One school of thought claims this day emerged from a custom of mother worship in ancient Greece, which kept a festival to Cybele, a great mother of Greek gods. This festival was held around the Vernal Equinox around Asia Minor and eventually in Rome itself from the Ides of March (15 March) to 18 March. The ancient Romans also had another holiday, Matronalia, that was dedicated to Juno, though mothers were usually given gifts on this day. In some countries Mother’s Day began not as a celebration for individual mothers but rather for christians.”

Maksudnya di sini ialah.. bahawa hari ibu juga merupakan salah satu di antara perayaan yang disambut oleh orang kafir iaitu masyarakat yang beragama kristian. Greek kuno memanggilnya sebagai hari cybele iaitu ibu kepada dewa-dewa mereka. Dan Roman kuno pula meraikan hari matronalia sebagai tanda memperingati dewa juno iaitu mak kepada juventas, vulcan dan mars.

Asal perayaan Hari Ibu merupakan perayaan yang meraikan Tuhan Ibu atau Ibu Dewi yang dipercayai merupakan tuhan kepada beberapa bangsa-bangsa kuno terdahulu seperti, bangsa Rom Kuno dan Yunani purba. Dewasa ini, perayaan sekali setahun ini, telah berevolusi menjadi suatu perayaan yang meraikan ibu-ibu yang melahirkan kita kedunia. Terdapat banyak tokoh pencetus kepada “Hari Ibu Moden” seperti  Julia Ward Howe yang merupakan negarawati Amerika yang terkemuka yang juga merupakan sosialis dan komposer kepada beberapa syair-syair serta bahan penulisan di Amerika. Beliau menjadikan 8 Mac sebagai Hari Ibu bagi menghargai kaum Ibu yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi dunia.

Selain itu, seorang lagi pengasas bagi hari ibu ialah, Anna Jarvis, beliau mengasaskanHari Ibu, dua tahun selepas kematian ibunya, yang merupakan pengasas kepada Kelab Ibu Berkerja di beberapa bandar di United States, Anna Jarvis telah mengadakan kempen mengadakan “Hari Ibu” dan menjadikan hari ibu sebagai hari cuti yang diakui, beliau telah mengasaskan Hari Ibu pada minggu kedua di bulan Mei.

Jadi persoalannya di sini, perlukah kita sebagai orang Islam untuk menyambutnya?

Di dalam Islam, kita dituntut untuk menghormati ibu bapa kita setiap masa dan ketika. Bukannya hanya terhad kepada hari-hari tertentu sahaja seperti pada hari ibu atau hari bapa.

Firman ALLAH Subhana Wa Ta’ala : Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
[Surah al-Israa’, Ayat 23 hingga 24]

Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah berkata, “Hari ibu ini timbul kerana pihak orentalis/doktrin barat memikirkan bahawa inilah cara yang terbaik untuk mereka menarik minat anak-anak remaja barat agar menghormati orang tua mereka. Umumnya kita tahu bahawa masyarakat barat amat tipis dengan adab tatasusila, jadi dengan mengadakan/mengkhususkan hari-hari tertentu sekaligus dapat memupuk remaja mereka agar menyayangi dan menghormati orang tua mereka.”

Manakala masyarakat kita pula umumnya lebih cenderung dengan budaya ikut-ikutan. Sentiasa terpengaruh dan terpedaya dengan budaya orang kafir dan barat. Bila orang kafir sambut hari valentine kita pun nak sambut sama! Bila orang kafir sambut april fool, kita pun ‘fool’ sama kerana sambut hari karut tu! Bila orang kafir sambut hari ibu dan hari bapa kita pun nak buat sama! Sungguhpun perayaan ini murni dari pandangan mata kasar kita. Tapi hakikat agama Islam kita tidak pernah mensyariatkan atau menuntut umat-umatnya agar menghormati dan menyayangi orang tua mereka, suami atau isteri mahupun anak-anak mereka pada hari-hari tertentu sahaja.

Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda : “Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu , maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka”
[Hadits Sahih – diriwayatkan oleh Imam Abu Daud R.H dalam sunannya, Imam Ahmad Bin Hanbal di dalam musnadnya Dan Imam as-Suyuti di dalam al-Jamie’ as-Shaghir, disahihkan oleh Al-Albani]

Islam adalah ‘Deen’ atau cara hidup. Ia telah merangkumi segala-galanya. Bukan hanya kehidupan untuk di dunia yang sementara ini bahkan kehidupan abadi (abadan-abadan) nun di akhirat kelak. Moga ALLAH Subhana Wa Ta’ala terus memelihara kita semua agar kekal terus dalam agamanya iaitu Islam dan mengamalkan cara hidup yang berlandaskan syariat Islam yang sebenar.

Apa pandangan Islam tentang Hari ibu?

Terdapat pelbagai pandangan para ulama’ dalam menyambut hari Ibu ini, seperti, HARAM, MAKRUHdan HARUS.Kepelbagaian dalam pandangan para ulama’ ini, adalah disebabkan perbezaan titik pandangan individu berdasarkan keadaan setempat.

Menurut pandangan Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, hukum menyambut Hari Ibu adalah HARAM. Berdasarkan pandangan beliau beliau menyatakan bahawa perayaan dalam Islam hanyalah Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Aidil Adha dan Hari Penekanan iaitu hari Jumaat, oleh itu perayaan selain daripada tiga ini adalah bid’ah berdasarkan hadis rasulullahsallalahualaihiwassalam:

“Barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kami ini yang bukan (bagian) darinya maka hal itu tertolak.” (HR. Bukhari Muslim)

Dan
“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang tidak kami perintahkan, maka hal itu tertolak.” (HR. Muslim)

Dan tambah beliau lagi, kita harus berbangga dengan agama kita yang telah disempurnakan oleh Allah yang maha Esa, dan menurutnya lagi Ibu lebih berhak dimuliakan daripada hanya dikhususkan kepada sehari sahaja dalam setahun.

       Pada pandangan yang lain, hukum menyambut hari ini adalah HARUS, berdasarkan hadis  Rasulullah sallalahualaihiwassalam,

“Sesungguhnya setiap perbuatan itu disertakan dengan niat dan sesungguhnya setiap orang itu apa yang diniatkan. Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kerana Allah dan Rasulnya dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang dihajatkannya”. (Muttafaqun Alaih)

Berdasakan hadis di atas, amalan yang tidak berdasarkan semata-mata kerana Allah tidak akan mendapat ganjaran pahala, dari apa yang kita niatkan itulah hasilnya, begitu juga dengan perayaan Hari Ibu ini, jika didasari dengan niat untuk memuja selain Allah yang Esa maka itu adalah kekafiran yang nyata. Di Malaysia, Hari Ibu disambut adalah bertepatan dangan hadis Rasulullah sallalahualaihiwassalam :

“Telah bersabda Rasulullah kepada seorang lelaki ketika ditanyakan kepada baginda : “Siapakah manusia yang paling layak aku berbuat kebaikan padanya? Rasulullah bekata : ibu kamu, kemudian  siapa? Berkata Rasululah : ibu kamu, kemudian siapa? Berkata Rasulullah : ibu kamu, kemudian siapa? Ayah kamu” (Muttafaqun Alaih)

Dan firman Allah:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”. [ Al-Isra’: 23]

Serta,
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan”. [Al-Ankabut: 8]

Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w  dan firman Allah maka menyambut Hari Ibu, secara tidak langsung dapat mengingatkan kepayahan dan jerih perit yang dilalui oleh ibu bapa untuk membesarkan dan mendidik anak mereka mengikut acuan yang sebenarnya. Memandangkan keadaan masyarakat Malaysia yang semakin teruk mengikut cara hidup barat yang keterlaluan, maka Hari Ibu merupakan antara cara yang baik untuk menyedarkan sebuah masyarakat yang alpa untuk beramal mengikut apa yang diajar oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Dengan menyambut Hari Ibu, kita dapat menggembirakan wanita-wanita yang bergelar ibu kerana perbuatan membuat baik kepada manusia adalah suatu perkara yang sangat dianjurkan oleh agama sepertimana yang disebut oleh Syeikh Siddiq Al-Minsyawi di dalam kitabnya Syarhu Al-Arbain An-Nawawiyah, apabila terdapat sesuatu perbuatan dan ianya diiringi dengan niat maka perbuatan itu dilakukan di atas 3 keadaan

Amalan yang dilakukan kerana takut kepada Allah SWT.
Amalan yang dilakukan adalah semata-mata untuk mendapatkan ganjaran pahala dan syurga daripada Allah SWT.
Amalan yang dilakukan adalah kerana malu kepada Allah dan untuk melaksanakan tanggungjawabnya beribadat kepada Allah SWT.

hari ibu
hari ibu



Hukum Hari Ibu
1. Berbakti kepada ibubapa adalah wajib dan patut dilaksanakan sepanjang tahun dan bukan pada hari-hari tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, masyarakat moden hari ini menyambut hari-hari tertentu untuk memberikan penghormatan atas jasa-jasa individu atau kelompok tertentu. Maka lahirlah beberapa hari Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Jururawat dan lain-lain. Hari Ibu disambut di sesetengah negara pada 21 Mac setiap tahun dan di sesetengah negara lain seperti Malaysia pada 10 Mei setiap tahun. Sambutan ini sentiasa mengundang perbahasan umat Islam tentang hukum menyambutnya.

2. Ulama’ berselisih pendapat dalam perkara ini dan secara umumnya mereka terbahagi kepada 2 kelompok iaitu:

  •  Kelompok yang mengharamkan. Diantaranya ialah Al-marhum Sheikh Abdul Aziz bin Baz yang secara jelas pernah mengeluarkan fatwa tentang sambutan ini. Asasnya ialah kerana ia termasuk diantara perkara bid’ah dalam agama dan mengikut kepada Barat (gharbiyyun).

  • Kelompok yang mengharuskan. Mereka mempersetujui bahawa sambutan ini juga adalah perkara yang diada-adakan, tetapi ia bukanlah bid’ah dalam ibadat tetapi hanyalah bid’ah dalam adat kebiasaan .

3. Pandangan kelompok pertama adalah cukup mudah untuk difahami dan saya tidak berhasrat memanjangkan di sini.

4. Pandangan kelompok kedua boleh diperhatikan pada pendapat-pendapat beberapa ulama’ kontemporari. Sheikh Faisal Mawlawi, Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Pengkajian Hukum Eropah (Majlis ini dipengerusikan oleh Sheikh Professor Dr Yusuf Abdullah al-Qaradawi) yang juga seorang pemimpin gerakan Islam di Lubnan (seangkatan dengan Sheikh Dr Fathi Yakan) berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu tetapi dengan dua syarat:

  •  Sambutan itu hanyalah penghormatan tambahan  yang dilakukan lanjutan daripada penghormatan sehari-hari yang diberikan selayaknya untuk ibu.
  •  Sambutan itu tidaklah dianggap sebagai satu perayaan dalam mafhum Syarak iaitu menyamai Eid al-Adha dan Eid al-Fitri yang ada asasnya yang jelas dalam nusus Syariah.

5. Dr Muhammad Bakar Ismail, Professor Tafsir dan Ilmu-ilmu al-Quran di Universiti Al-Azhar al-Syarif memberikan pandangan seperti berikut:

“Hari ini dimana ibu dimuliakan dan dinamakan dengan Hari Ibu adalah daripada bid’ah-bid’ah dalam perkara adat dan bukan ibadat. Bid’ah dalam adat adalah tidak disuruh oleh Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia menghubungkan dengan agama daripada dekat atau jauh. Jika adat ini lahir daripada pengiktirafan kepada kecantikan dan menyeru kepada berlaku baik dan ihsan kepada orang yang berhak mendapat kebaikan dan ihsan seperti ibu, bapa, datuk dan nenek, maka Islam memberkati dan memperakui adat sebegini. Manakala jika adat ini lahir daripada perkara yang sebaliknya, dan melakukannya juga melibatkan perkara-perkara yang buruk dan dilarang oleh Islam seperti pemborosan, pembaziran, kelalaian dan berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.”

6. Dr ‘Abdul Fattah Asyur, seorang lagi ulama’ al-Azhar memberikan pendapat seperti berikut:

Bahawa merayakan beberapa hari yang padanya dimuliakan manusia atau menghidupkan ingatan-ingatan yang baik, maka tidak seorang pun mengatakan bahawa program ini adalah perayaan agama atau sebahagian daripada perayaan-perayaan Muslimin. Tetapi ia adalah peluang untuk menunjukkan syiar perasaan yang baik terhadap orang-orang yang berbudi kepada kita dan diantaranya ialah apa yang dikenali sebagai Hari Ibu. Sesungguhnya bagi ibu kedudukan yang khusus dalam Islam dan juga dalam setiap agama lain. Maka ibu wajib dimuliakan dan dirayakan.

7. Sheikh Hamid al-Athar, ahli Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia (yang dipengerusikan oleh Sheikh al-Qaradawi) memberikan pendapat seperti berikut:

Perayaan Hari Ibu pada suatu pada suatu hari yang dikhususkan (iaitu 21 Mac) pada pendapatku adalah makruh dan tidak jauh hukumnya dengan haram, bukan disebabkan bid’ah tetapi kerana mengikut orang-orang bukan Islam pada adat kebiasaan dan perayaan-perayaan mereka. Telah datang beberapa hadith Rasulullah SAW yang melarang umatnya daripada menyerupai Ahli Kitab antara lainnya ialah yang didatangkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka.”

8. Dr Muhammad al-Banna berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu dengan syarat:

  •  Tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara yang diharamkan oleh Syariah seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan.
  • Tidak dimaksudkan untuk menyerupai orang-orang Barat dan bukan Islam.
  •  Hendaklah kandungan perayaan itu diteruskan sepanjang tahun iaitu tidak terbatas kepada hari tersebut sahaja.(Sumber: UBM)

SAMBUTAN YANG DI ANJURKAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

1. Sambutan yang dilakukan sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang Muslim terhadap Allah s.w.t. dan tidak bersifat membazir.

2. Sambutan yang baik  adalah dengancaramengasihi sesama sanak saudara melalui amalan ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka, menzahirkan rasa syukur jika senang dan bertakziah  atau bersimpati apabila ditimpa sebarang musibah.

3. Sebaik-baik sambutan adalah dengan mengadakan sembahyang berjamaah bersama ahli keluarga, majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik serta dalam suasana yang mahabbah.

4. Setiap ibu bapa perlu merenung kembali dan muhasabah diri ke atas amanah serta tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Adakah kita telah memainkan peranan sebagai pemimpin keluarga dengan penuh kasih sayang, melalui jalan kebenaran untuk menikmati kedamaian hidup di dunia dan kebahagiaan akhirat.

5. Setiap ibu bapa perlu menyayangi dan melindungi ahli keluarga mereka daripada segala bentuk ancaman akidah dan kelalaian dunia. Ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik di dalam keluarga dan disegani, dihormati serta disayangi oleh ahli keluarga.

6. Setiap ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran yang baik dan selesa agar ahli keluarga merasa selamat,  dihargai dan dihormati dalam usaha melahirkan insan syumul.

7. Setiap ibu bapa perlu prihatin dan memainkan peranan bersama untuk membabitkan diri dalam membanteras gejala sosial dan maksiat yang berleluasa dalam masyarakat, melalui program amar makruf nahi mungkar bagi melindungi ahli keluarga daripada terjebak.

8. Setiap ibu bapa perlu memperingatkan dirinya perihal pentingnya peranan mereka dalam menyemaikan nilai-nilai etika dan spiritual yang tinggi dalam kalangan ahli keluarga mereka.

9. Setiap ibu bapa mestilah mengambil langkah-langkah proaktif bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan (parenting skills) bagi menyediakan anak-anak mereka untuk lebih berupaya menghadapi cabaran masa kini.

10. Didikan agama yang sempurna  adalah satu faktor perlindungan (protective factor) yang mampu menyelamatkan manusia dari terjebak ke dalam perbuatan keji yang hanya akan merosakkan dirinya sendiri. Apabila pegangan serta keutamaan tidak lagi berkisarkan kepada tunjang agama yang kukuh, dengan mudah sahaja seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang merugikan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya.



Terimakasih telah membaca di Aopok.com, semoga bermanfaat mulai lah buat iklan gratis di Iklans.com dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Piool.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.


Comments

Paling Populer

To Top