Syaikh Sa`id Ramadhan al-Buthi, ulama yang `alim lagi `allaamah, syahid dibom dan dibunuh dalam masjid ketika mengajar, mudah – mudahan Allah merahmati beliau sentiasa dan mengganjarinya dengan pahala syahid masuk syurga tanpa hisab, pernah menceritakan kisah dan doa Nabi Khadhir ini dalam satu kuliah beliau. Beliau meriwayatkan kisah tersebut dengan shighah tamridh (yakni isyarat atas dhaif sanadnya) bahawa pada satu ketika, sedang Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `amhu bertawaf mengelilingi Ka`abah, baginda terdengar seorang hamba Allah, berpaut pada kelambu Ka`abah sambil berdoa: “Wahai Tuhan yang sentiasa mendengar segalanya tanpa sebarang gangguan, Wahai Tuhan yang tidak pernah keliru dek banyaknya permintaan, Wahai Tuhan yang tidak sesekali bosan dengan desakan permohonan hamba – hambaNya kepadaNya; Rasakan kepada kami kenyamanan rahmatMu dan kemuliaan penerimaanMu.” Mendengar doa tersebut, Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu menyuruh hamba Allah tersebut mengulanginya. Beliau mengulangi doa tersebut dan berkata kepada Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu: “Berdoalah kepada Allah dengan doa ini setiap kali selesai shalat, demi Tuhan yang nyawa Khadhir dalam genggamanNya, tidaklah seseorang yang berdoa dengan doa ini melainkan Allah mengampuni segala dosanya.” Syaikh Sa`id Ramadhan al-Buthi rahimahullah menganjurkan agar kita menghafal doa ini dan mengamalkannya setiap lepas shalat. Mudah – mudahan dapat kita amalkan.
Kisah yang sama dinukilkan oleh Imam as-Sayuthi rahimahullah dalam “ad-Durrul Mantsur”, juz 7, halaman 624 dengan shighah yang sedikit berbeza. Imam as-Sayuthi menyatakan bahawa kisah ini diriwayatkan oleh al-Khatib dan Ibnu `Asakir `alaihima rahmatus Syaakir daripada Sayyidina `Ali radhiyaAllahu `anhu. Menurut riwayat nukilan Imam as-Sayuthi rahimahullah tersebut, Nabi Khadhir `alaihis salam menyatakan bahawa: “Demi Tuhan yang nyawa Khadhir dalam genggamanNya, tidaklah seseorang hamba yang berdoa dengannya selepas shalat fardhu melainkan diampuni dosa – dosanya walaupun dosanya banyak, umpama pepasiran di padang pasir yang luas, sebanyak titisan air hujan dan sebanyak daun – daun pepohonan.”
